Carilamat dua lagi mangsa bot karam disambung esok - Utusan Malaysia

Carilamat dua lagi mangsa bot karam disambung esok

SEBUAH bot Maritim Malaysia Terengganu melakukan operasi carilamat mangsa yang hilang dalam kejadian bot nelayan dilanggar tongkang di perairan Kemaman ketika tinjauan di Jeti Haji Pa Kuala Kemaman, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dua lagi mangsa yang hilang dalam insiden bot karam dipercayai dilanggar tongkang akan disambung bermula pukul 7 pagi esok.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Leftenan Maritim Muhamad Faisal Abdul Rahim berkata, Ops Carilamat yang disertai pelbagai agensi penyelamat itu ditangguhkan pada pukul 7 malam ini.

“Pada hari ini, kita telah melakukan pencarian sekitar 153 batu nautika persegi dari lokasi kejadian menggunakan empat aset iaitu bot Maritim, dua buah bot Tentera Laut DiRaja Malaysia dan sebuah bot Polis Marin,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Jeti Haji Pa, Kuala Kemaman di sini, petang tadi.

Muhamad Faisal berkata, pihaknya percaya, dua lagi mangsa iaitu Aina Husna Mohamad Husani, 25, dan seorang lagi pemancing iaitu Yusof Kassam, 66, masih lagi berada di sekitar lokasi pencarian.

“Insya-Allah, kita akan gandakan lagi usaha pencarian esok,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi, bot yang dinaiki dua tekong dan tujuh pemancing berasal dari Raub, Pahang dan Selayang, Selangor karam dipercayai dilanggar sebuah tongkang.

Lima mangsa termasuk seorang mangsa yang meninggal dunia, iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, yang berpaut antara satu sama lain pada dua buah tong ikan berjaya diselamatkan oleh bot nelayan kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Mayat seorang lagi mangsa iaitu tekong, Shahril Ismail, 50, ditemui kira-kira pukul 1 tengah hari tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN