Jenazah 100 mangsa perang Gaza dikebumikan serentak - Utusan Malaysia

Jenazah 100 mangsa perang Gaza dikebumikan serentak

JENAZAH 100 mangsa perang Gaza ditemukan di bawah runtuhan di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Jenazah 100 mangsa perang Gaza yang ditemukan di bawah runtuhan rumah dikebumikan dalam satu upacara pengebumian beramai-ramai di kejiranan Zeitoun kelmarin.

Orang ramai termasuk anggota keluarga mangsa hadir memberikan penghormatan terakhir ketika jasad mangsa dibawa ke kawasan perkuburan.

Jasad mereka ditemukan di bawah runtuhan rumah yang musnah di kawasan itu sekali gus menggambarkan skala kemusnahan dan tragedi yang dialami penduduk Gaza sepanjang perang. Perang Israel-Hamas tu berlaku pada Oktober 2023. Gencatan senjata kemudian bermula pada Oktober tahun lalu.

Pengebumian itu dianjurkan Persatuan Keluarga Kejiranan Zeitoun dengan kerjasama Direktorat Pertahanan Awam dan Jawatankuasa Orang Hilang.

Ahli keluarga mangsa membawa gambar mangsa, manakala orang ramai mengangkat sepanduk sebagai penghormatan kepada mangsa.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Bassal berkata, daripada 100 mangsa, 70 adalah kanak-kanak.

Suasana pilu menyelubungi kawasan itu sebelum  pengebumian bermula, dengan ahli keluarga berkumpul untuk menatap buat kali terakhir jasad insan tersayang selepas sekian lama menanti kepastian mengenai nasib mangsa.

Sebahagian daripada mereka masih dalam keadaan terkejut dan sukar menerima kenyataan bahawa pencarian yang berlarutan akhirnya berakhir dengan keranda yang tertera nama insan tersayang.

Bassal berkata, operasi mengeluarkan jasad mangsa bertujuan mengembalikan mereka kepada keluarga supaya dapat diberikan penghormatan terakhir dan dikebumikan dengan sempurna.

“Berapa lama lagi Gaza akan terus berada dalam kesakitan ini? Berapa lama seorang bapa membesarkan anak-anaknya selama bertahun-tahun, hanya untuk melihat mereka semua terbunuh dalam sekelip mata?,” katanya dalam nada penuh kesedihan.

Bassal berkata, pasukan Pertahanan Awam masih perlu mencari kira-kira 8,000 orang yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan, meskipun berdepan kekurangan sumber dan ketiadaan sokongan daripada masyarakat antarabangsa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×