Telur tercemar di AS - Utusan Malaysia

Telur tercemar di AS

GAMBAR fail beberapa biji telur. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kejadian penularan wabak jangkitan Salmonella yang dikaitkan dengan bekalan telur telah menyebabkan sekurang-kurangnya 98 orang menderita sakit dan 26 lagi dimasukkan ke hospital di 17 buah negeri di Amerika Syarikat (AS).

Jumlah kes terbaharu yang mencatatkan peningkatan sejak beberapa minggu lalu itu mendorong pegawai kesihatan persekutuan dan negeri mendesak pengguna supaya memeriksa peti sejuk masing-masing dengan serta-merta.

Ia adalah  bagi memastikan tiada produk yang ditarik balik daripada pasaran yang dikhuatiri dicemari bakteria maut yang meragut lebih 400 nyawa setiap tahun.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) aktif menjalankan siasatan berhubung wabak berkenaan. 

Pegawai- pegawai kesihatan awam di beberapa negeri turut melakukan siasatan tentanbg wabak itu.

Punca penularan dikesan berasal daripada syarikat Midwest Poultry Services. Ia merupakan syarikat sama yang telah menarik balik secara sukarela ke atas lebih 1.5 juta dozen telur pada 22 Julai akibat kebimbangan pencemaran Salmonella.

Penarikan balik itu melibatkan telur ayam ternak bebas gred perang dan telur putih  yang dijual di bawah pelbagai jenama popular seperti Kroger, Simple Truth, Brookshire’s, Cal-Maine dan Country Morning, dengan tarikh luput atau baik sebelum antara 20 Julai hingga 17 Ogos 2026.

Produk berkenaan dihasilkan dan diedarkan dari ladang-ladang di Texas antara 6 Jun hingga 3 Julai.

Ia diedarkan dari ladang sebelum dihantar kepada pelanggan perkhidmatan makanan dan peruncit di sekitar Texas, Oklahoma, Louisiana, Arkansas, Mississippi termasuk New Mexico.

Jangkitan yang dikenali sebagai salmonellosis ini boleh menyebabkan gejala cirit-birit, demam, kekejangan perut dan dehidrasi iaitu simptom yang memerlukan perhatian perubatan segera. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN