Mahkamah dengar rayuan ahli keluarga mangsa MH370 - Utusan Malaysia

Mahkamah dengar rayuan ahli keluarga mangsa MH370

SEBUAH mahkamah mendengar rayuan ahli keluarga mangsa MH370 di Beijing. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Ahli keluarga penumpang warga China bagi penerbangan Malaysia Airlines Flight MH370, yang hilang 12 tahun lalu dalam salah satu misteri terbesar dalam sejarah penerbangan, hadir di sebuah mahkamah di Beijing pada Selasa bagi menuntut penjelasan.

Mahkamah itu mula mendengar rayuan mereka terhadap keputusan terdahulu yang hanya mengarahkan pampasan dibayar.

Menurut keluarga mangsa, ia mengabaikan persoalan-persoalan penting mengenai kehilangan pesawat tersebut.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 orang  kira-kira dua pertiga daripadanya warga China hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Walaupun beberapa operasi pencarian dijalankan, termasuk yang terbesar dalam sejarah penerbangan, pesawat, penumpang mahupun kotak hitamnya masih belum ditemui.

Sebuah mahkamah di Beijing pada Disember lalu mengarahkan Malaysia Airlines membayar pampasan sebanyak 2.9 juta yuan (RM1.6 juta) kepada setiap satu daripada lapan keluarga penumpang warga China.

Prosiding rayuan itu dijalankan secara tertutup tanpa kehadiran media.

Kecewa kerana mendakwa masih tiada jawapan yang benar-benar menjelaskan tragedi itu, dua keluarga telah mengemukakan rayuan.

“Apabila saya menerima penghakiman itu dan membaca keputusan mahkamah peringkat pertama, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah mahkamah menghina keluarga penumpang dan mempermainkan kami,” kata Li Eryou, 69, yang kehilangan anak lelaki dalam penerbangan itu kepada AFP di luar mahkamah pada Selasa.

“Dalam tempoh 12 tahun, tiada siapa pernah memohon maaf kepada kami. Saya berasa amat marah,” tambahnya.

“Ini merupakan kes antarabangsa tetapi hakim di mahkamah peringkat pertama mengendalikannya seolah-olah ia hanya kemalangan jalan raya biasa, sebab itu jumlah pampasan yang diputuskan amat kecil,” ujarnya lagi.

Selama bertahun-tahun, pakar telah mengemukakan pelbagai teori bagi menjelaskan kehilangan misteri pesawat itu, termasuk kemungkinan juruterbang membunuh diri, rampasan pesawat, serangan peluru berpandu atau kerosakan teknikal.

Menurut satu teori, kebakaran mungkin berlaku pada komponen elektronik sehingga menghasilkan asap yang memenuhi kabin dan menyebabkan penumpang serta kru tidak sedarkan diri.

Pesawat itu kemudian dipercayai terus terbang menggunakan sistem autopilot merentasi Lautan Hindi. Ia merupakan kawasan yang menjadi tumpuan operasi pencarian  sebelum kehabisan bahan api dan terhempas.

“Sebab utama sesetengah keluarga membuat rayuan ialah mahkamah peringkat pertama gagal menetapkan fakta kes dengan jelas, selain tidak mengkritik atau membetulkan kegagalan Malaysia Airlines bertindak sejak 2014,” kata Jiang Hui, yang kehilangan ibunya dalam penerbangan itu.

Beliau berkata mahkamah hanya memutuskan jumlah pampasan, sedangkan itu bukan segala-galanya yang keluarga mangsa mahukan.

“Bagi kami, perkara yang paling penting ialah penetapan fakta sebenar. Itulah tuntutan utama kami,” katanya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN