Bukan pembalakan punca air menyusut di empangan - Sanusi - Utusan Malaysia

Bukan pembalakan punca air menyusut di empangan – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor menyerahkan Jalur Gemilang pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Jiwa Merdeka di Wisma Darul Aman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri menafikan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab kononnya penyusutan takungan air di Empangan Muda dan Empangan Pedu ketika ini berpunca daripada kesan pembalakan.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, keadaan itu langsung tiada kaitan dengan kerja-kerja pembalakan sebaliknya berlaku disebabkan kemarau berpanjangan.

“Saya tahu ada pihak nak salahkan kerajaan negeri kononnya perkara itu berlaku disebabkan balak. Walhal tak ada pembalakan pun di kawasan seluas 72,000 hektar di Hutan Simpan Ulu Muda.

“Luar kawasan itu memang ada dan itu pun melibatkan kelulusan lama sebelum pentadbiran ini. Semua penebangan itu mengikut kuota ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan iaitu 4,200 hektar setahun dan bukan semua di Ulu Muda sebaliknya seluruh Kedah.

“Semua itu tidak menjejaskan apa-apa. Air berkurang sebab tiada hujan. Dalam hal ini, kita minta pertolongan Allah dan jangan salahkan orang lain. Harapnya Allah turunkan rezeki hujan dalam sehari dua ini agar takungan kembali penuh,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Jiwa Merdeka di sini, hari ini.

Setakat ini, paras air di Empangan Muda hanya tinggal 8.00 peratus diikuti Empangan Pedu 39.09 peratus dan Empangan Ahning 81.80 peratus dengan purata keseluruhan takungan adalah 43.68 peratus.

Muhammad Sanusi berkata, beliau sendiri sudah membuat lawatan ke Empangan Beris dan Empangan Muda, baru-baru ini yang didapati arus sungai masih deras walaupun kadar takungan air di empangan menyusut.

“Saya tinjau sehari sebelum pembenihan awan dilakukan. Hari saya tinjau hujan lebat tetapi apabila pembenihan awan dilakukan, hujan renyai-renyai saja. Sebab itu saya katakan kita kena minta dengan Allah kerana kita hanya mampu berusaha tetapi tak boleh mengatasi kuasa-Nya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN