PETALING JAYA: Keanggotaan Malaysia di dalam kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) berpotensi ‘merumitkan’ hubungan dengan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).
Walaupun Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sudah memberi jaminan penyertaan Malaysia ke dalam BRICS tidak akan menyebabkan negara berdepan ancaman negara kuasa besar, namun, ahli akademik tidak menolak kemungkinan jika tiada dasar efektif memastikan Malaysia berbaik-baik dengan kesemua blok ekonomi.
Mereka percaya, potensi itu disebabkan negara pengasas BRICS iaitu Rusia dan China merupakan seteru Amerika Syarikat (AS), ketika banyak syarikat semikonduktor negara itu beroperasi di Malaysia yang memberi impak jika AS dan Barat bertindak balas.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Alor Gajah, Prof. Madya Dr. Abdul Rahim Ridzuan berkata, BRICS sering meletakkan dirinya sebagai suara untuk ekonomi sedang pesat membangun dan pencabar kepada sistem kewangan global dikuasai Barat.
“Penyertaan Malaysia dalam BRICS berpotensi mendapat perhatian daripada kuasa besar, terutama mereka yang melihat blok itu sebagai pengimbang kepada pengaruh mereka.
“Maka, ia mungkin dianggap sesetengah pihak sebagai sejajar dengan pendirian geopolitik yang lebih luas yang berpotensi merumitkan hubungannya dengan kuasa besar seperti AS dan EU.
“Kuasa-kuasa ini melihat penyertaan Malaysia sebagai pivot strategik, mendorong kepada pengukuhan atau pemerkasaan semula hubungan diplomatik dan ekonomi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kata Abdul Rahim, potensi ancaman daripada kuasa besar dapat dikurangkan oleh hubungan diplomatik Malaysia yang terjalin dan dasar ketidakselarasan yang sudah lama wujud dengan menekankan pengimbangan hubungan merentas blok geopolitik yang berbeza.
“Kemungkinan juga penglibatan Malaysia dengan BRICS dilihat sebagai langkah pragmatik untuk mempelbagaikan perkongsian, meningkatkan autonomi strategiknya dan keinginan memupuk kerjasama serantau, bukannya penjajaran ideologi,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, penyertaan Malaysia ke dalam BRICS menawarkan faedah yang ketara dari segi kerjasama ekonomi dan pengaruh geopolitik.
Katanya, Malaysia mendapat akses kepada pasaran yang pelbagai dan berkembang pesat yang secara kolektif mewakili lebih 40 peratus daripada populasi global atau kira-kira 24 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Dunia (KDNK).
“Akses ini menyediakan perniagaan Malaysia peluang yang diperluas untuk perdagangan dan pelaburan, terutama dalam sektor pembuatan, teknologi dan sumber asli.
“Lagi pun, BRICS terkenal dengan tumpuan mereka terhadap pembangunan infrastruktur dan inovasi yang saya yakin membolehkan Malaysia mendapat manfaat kemajuan teknologi yang dikongsi dan amalan terbaiknya,” katanya.
Kata Mohamad Idham, penglibatan Malaysia nanti akan meningkatkan pengaruh geopolitik dengan menyelaraskan dengan ekonomi sedang pesat membangun utama, dengan mempelbagai perkongsian ekonomi dan diplomatik melangkaui pakatan tradisional Barat.
“Penjajaran ini membolehkan Malaysia mengambil bahagian dalam membentuk dasar dan piawaian ekonomi global, yang berpotensi meningkatkan kedudukan tawar-menawarnya dalam rundingan perdagangan antarabangsa.
“Walaupun rekod dan statistik khusus mengenai manfaat ekonomi Malaysia yang tepat daripada penyertaan BRICS mungkin tidak didokumenkan secara meluas, namun, peningkatan keseluruhan dalam isi padu perdagangan dan penglibatan ekonomi dengan BRICS menunjukkan kesan positif terhadap pertumbuhan KDNK Malaysia,” katanya.
Pada 27 Julai lalu, dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-57 di Vientiane, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia perlu menunggu lebih kurang satu tahun lagi sebelum permohonannya diterima, namun, Rusia dan China mengalu-alukan pernyertaan negara dalam BRICS.
Pada 9 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat berkata, penyertaan Malaysia ke dalam BRICS diyakini memberi kekuatan baharu memandangkan KDNK negara itu mencecah AS$26.6 trilion.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China manakala Afrika Selatan kemudian menyertai kumpulan itu pada 2010.
Kumpulan itu dibentuk untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia bagi mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat. – UTUSAN










