KUALA LUMPUR: Pelaburan berkualiti tinggi yang masuk ke Malaysia perlu membina ekosistem tempatan yang mampu menghubungkan syarikat Malaysia dengan rantaian bekalan global dan tidak seharusnya berakhir dengan kemasukan modal semata-mata.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pelaburan berkenaan perlu memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk menjadi vendor serta membuka ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang sebagai pemain global.
Ujarnya, pelaburan berkualiti tinggi juga perlu membawa pemindahan teknologi dan kemahiran serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat.
“Sebagai MITI, salah satu perkara yang sangat penting kepada kita ialah memastikan pelaburan berkualiti tinggi bukan sekadar datang ke Malaysia,” katanya pada ‘Voices of HER Forum 2026’ di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Menurut Johari, Malaysia juga perlu mengubah kedudukan daripada sekadar pengguna teknologi kepada negara yang mampu mencipta, mengeluarkan dan mengeksport teknologi sendiri.
Jelasnya, syarikat tempatan perlu diberi keupayaan untuk membangunkan penyelesaian dan produk sendiri sebelum menembusi pasaran antarabangsa.
“Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pengguna teknologi. Kita perlu bergerak daripada pengguna kepada pengeluar, penerima teknologi kepada pencipta teknologi dan akhirnya daripada pengeluar kepada pengeksport,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu semakin penting dalam menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang kini memberi kesan bukan sahaja kepada sektor teknologi, malah produktiviti, daya saing dan penciptaan nilai ekonomi.
“AI boleh membantu syarikat meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos, mempercepatkan proses, membuat keputusan berdasarkan data, meningkatkan kualiti malah boleh membuka model perniagaan baharu,” katanya.
Johari berkata, ukuran sebenar bukan sekadar jumlah syarikat yang menggunakan AI, tetapi sejauh mana teknologi itu mampu menghasilkan nilai yang boleh dimiliki dan dibawa ke pasaran dunia.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia mahu syarikat tempatan membangunkan teknologi untuk pasaran global, meletakkan produk tempatan dalam rantaian bekalan antarabangsa serta melahirkan lebih banyak syarikat pemula niaga yang mampu berkembang menjadi pemain serantau.
Dalam pada itu, Johari berkata, wanita juga perlu diberikan ruang untuk bergerak daripada sekadar memulakan perniagaan kepada mengembangkan perniagaan pada skala lebih besar.
Katanya, usaha memperkasa wanita dalam ekonomi digital tidak seharusnya terhenti pada penyediaan platform untuk memulakan perniagaan atau memasarkan produk.
“Kita sudah banyak membantu wanita memulakan perniagaan, menggunakan platform digital dan memasarkan produk. Itu semua penting.
“Namun, persoalan yang lebih besar ialah sama ada wanita hanya mahu berada pada tahap menjalankan perniagaan atau turut dibangunkan sehingga mencapai tahap bersedia berkembang pada skala yang besar,” katanya.










