BN perlukan bantuan PH untuk kekal kemenangan di DUN Mahkota - Utusan Malaysia

BN perlukan bantuan PH untuk kekal kemenangan di DUN Mahkota

AHMAD Zahid Hamidi mengendalikan jengkaut pada Majlis Pecah Tanah Projek Pemajuan Kawasan RPT Simpang Tiga di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) memerlukan bantuan dan sokongan parti komponen Kerajaan Perpaduan khususnya Pakatan Harapan (PH) dalam memastikan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, bulan depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keterlibatan parti komponen PH dalam PRK tersebut sangat penting, kerana komposisi pengundi dan demografi di DUN Mahkota adalah berbeza dengan DUN Nenggiri.

“Di DUN Mahkota, landskap politik adalah berbeza, justeru walaupun jentera kempen adalah sama, tetapi pendekatan adalah berlainan dengan yang digunakan pada PRK Nenggiri, baru-baru ini,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pemajuan Kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Simpang Tiga di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Felcra yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Idris Lasim.

Pada PRK Nenggiri kelmarin , BN dan UMNO melarang parti komponen PH berkempen berikutan hampir 100 peratus pengundinya adalah orang Melayu dan Orang Asli.

Dalam PRK itu, BN berjaya merampas kembali kerusi tersebut daripada Bersatu dengan majoriti 3,372 undi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, jumlah pengundi di DUN Mahkota adalah tiga kali ganda daripada di DUN Nenggiri, jadi harus melibatkan semua pihak dengan rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan wajib dilibatkan dalam kempen PRK tersebut.

Jelasnya, jika BN sebelum ini bertanding secara solo, pihaknya mengakui hakikat bahawa parti itu memerlukan rakan-rakan kongsi politik yang baik dan akan menjalinkan kerjasama dengan pihak lain dalam mendepani sebarang pilihan raya.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 September, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 5,166 undi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan kemenangan DUN Nenggiri kelmarin menunjukkan bahawa satu angin perubahan telah berlaku di Kelantan.

“Dengan tidak berniat untuk merasa angkuh, sombong dan ujub, kami merasakan bahawa jika ada unsur-unsur luaran mengatakan UMNO tidak relevan, keputusan di Nenggiri membuktikan sebaliknya.

“Kita ketahui Kelantan dikuasai lebih tiga dekad oleh sebuah parti yang menjanjikan syurga tetapi masalah-masalah asas tidak dapat diselesaikan,” ujar beliau.

Beliau menyifatkan kemenangan itu bukan sekadar menebus maruah UMNO di Gua Musang dan Kelantan, tetapi menghantar satu mesej bahawa rakyat yang rasional dapat menerima penjelasan diberikan oleh parti itu terhadap segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan pembangkang.

Justeru, beliau menyerahkan kepada Ahmad Jazlan untuk memastikan angin perubahan itu dapat dirasai ke seluruh Kelantan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×