PETALING JAYA: Selepas beberapa bulan dilanda kemarau, Malaysia kini berdepan perubahan cuaca ekstrem termasuk menerima taburan hujan berintensiti tinggi yang menyebabkan berlaku fenomena kepala air, banjir dan risiko tanah runtuh.
Bencana paling buruk adalah kejadian kepala air di Slim Village, Tanjung Malim, Perak, kelmarin yang menyaksikan tiga buah jambatan runtuh, 175 penduduk terjejas manakala 21 pengunjung terperangkap di kawasan perkhemahan Eco Park Risda Ulu Slim.

Kejadian kepala air turut merosakkan kenderaan dan menjejaskan medan selera serta lima di kawasan kereta kabel SkyCab Langkawi, Kedah dengan kerugian ratusan ribu ringgit ditanggung peniaga di situ.
Sementara itu, hujan lebat berterusan memaksa 52 penduduk di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang-Kem Wardiburn berpindah berikutan kediaman mereka berisiko berlaku pergerakan tanah dan boleh mengakibatkan tanah runtuh.
Beberapa kawasan juga dilanda banjir kilat seperti Duyong, Bukit Cina, Kota Laksamana, Pengkalan Batu di Melaka manakala seramai 301 mangsa banjir membabitkan 86 ketua isi rumah dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS)di Sepang, Selangor semalam.
TIGA JAMBATAN RUNTUH, 175 INDIVIDU TERJEJAS
Di Tanjung Malim, fenomena kepala air kira-kira pukul 6.45 petang kelmarin berlaku berikutan hujan lebat menyebabkan Jambatan Utama Slim River-Behrang Ulu, Jambatan Ulu Slim dan Jambatan Kampung Piong dekat Sungai Bil runtuh dan penduduk terputus hubungan.
Kepala air juga menyebabkan loji rawatan air Sungai Geliting di Ulu Slim pecah dan berlaku kerosakan pada paip utama menyebabkan ribuan penduduk di daerah Muallim terputus bekalan air dan elektrik.
Gangguan bekalan air berlaku sejak kelmarin melibatkan 70 peratus daripada keseluruhan 12,000 pengguna air berdaftar.
Kawasan yang terjejas membabitkan Kampung Orang Asli Sungai Bil, Kampung Sungai Bil, Kampung Lintah, Kampung Piong, Kampung Baru Slim Village, Kampung Sungai Muda dan Kampung Ulu Slim.

Pasukan bomba berjaya memindahkan 21 orang yang terperangkap di Risda Eco-Park, Kampung Ulu Slim pagi semalam, melibatkan 19 pengunjung pusat taman eko itu dan dua penduduk kampung. Mereka terperangkap selepas jambatan yang menghubungkan laluan ke kawasan perkhemahan Risda Eco Park itu runtuh akibat kepala air.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kejadian kepala air sekitar pukul 6.30 petang ketika hujan lebat apabila berlaku pergerakan kepala air dari atas bukit melalui Sungai Bil dengan hujan berterusan mengakibatkan Loji Rawatan Air Sungai Geliting di Ulu Slim pecah dan air sungai melimpah ke kampung berdekatan.
Katanya, kepala air itu juga membawa banyak batang kayu dan sampah sarap yang menyebabkan jambatan runtuh.
“Berlaku tiga runtuhan jambatan termasuk Jambatan Slim River-Behrang Ulu yang merupakan laluan utama dari pekan Slim River ke Slim Village.
“Berikutan itu, beberapa mangsa terperangkap namun kesemuanya telah dipindahkan ke PPS membabitkan 175 orang,” katanya.
JAMBATAN BAILEY GANTI JAMBATAN RUNTUH
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang meninjau kawasan bencana di Jambatan Slim River-Behrang Ulu yang runtuh berkata, Jambatan Bailey akan dibina di Jalan Slim River-Ulu Behrang bagi menggantikan jambatan yang runtuh itu.
Menurutnya, jambatan dengan panjang 77 meter dan 7.5 meter lebar itu menghubungkan Pekan Slim Village ke Bandar Slim River dan Bandar Behrang.
Katanya, jambatan berkenaan mengalami kegagalan disebabkan tidak dapat menahan tekanan daripada sisa kayu yang hanyut bersama aliran air banjir.
“Sebagai langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya, laluan tersebut terpaksa ditutup sementara. Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan melaksanakan pengurusan trafik seperti sistem papan tanda, penghadang dan lain-lain peralatan sebagai amaran awal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sisa kayu yang hanyut di Sungai Slim dalam kejadian kepala air itu bukan berpunca daripada aktiviti pembalakan.
Katanya, ia adalah sisa kayu serta pokok tumbang yang ditinggalkan dan dihanyutkan air selepas hujan lebat.
“Saya tidak rasa begitu (pembalakan haram), ia cuma sisa-sisa kayu dan pokok yang ditinggalkan kemudiannya hanyut akibat arus deras,” katanya.
‘HANYA FIKIR NYAWA AHLI KELUARGA’
Sementara itu, berkongsi detik cemas kejadian tersebut, seorang penduduk Kampung Pasir Sungai Muda, Raja Abu Bakar Raja Adnan, 52, menyifatkannya sebagai bencana paling buruk pernah berlaku di situ dalam tempoh lebih 20 tahun di situ.
Katanya yang tinggal bersama isteri, ibunya dan tiga anak buahnya, kejadian itu berlaku dengan pantas dan tidak banyak yang boleh dilakukannya sekeluarga.
“Kejadian itu paling menakutkan kerana tidak pernah berlaku kejadian kepala air sehingga menyebabkan jambatan sebagai penghubung jalan penduduk kampung runtuh.
“Tiada apa yang dapat diselamatkan kecuali nyawa saya sekeluarga kerana paras air telah sampai ke paras pinggang,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Jamek Kampung Pasir Sungai Muda, Slim River.
HANYA SEMPAT BERKHEMAH DUA MINIT
Seorang mangsa, Prof. Madya Dr. Ibrahim Abu Bakar berkata, beliau sekeluarga hanya sempat berkhemah kira-kira satu hingga dua minit sebelum berlakunya kejadian kepala air.
“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya hanya berjaya selamatkan kereta namun yang lain-lain musnah dihanyutkan arus deras. Kami berlindung di pos pengawal dan bertahan di kem tersebut kerana jambatan telah runtuh,” katanya.
Seorang guru, Syis Abdul Kadir, 35, pula tidak dapat melupakan pengalaman terperangkap selama 17 jam ekoran kejadian itu yang meninggalkan kesan kepada dirinya, isteri dan dua anaknya sebelum diselamatkan pasukan keselamatan.
“Kami sekeluarga dari Sabak Bernam tiba di sini pada pukul 3 petang, semasa itu air sungai sangat jernih sebelum mula mendirikan khemah dan selesai semua pukul 6 petang.
“Dalam pukul 6.30 petang tiba-tiba air jadi sangat keruh dan kemudian dalam sekelip mata kawasan kami dinaiki air hingga memaksa kami berlari ke dewan memandangkan lokasinya di kawasan tinggi,” katanya.
RUGI RM100,000 BARANG NIAGA MUSNAH
Sementara itu, seorang peniaga di medan selera di kereta kabel SkyCab Langkawi mengalami kerugian dianggarkan sehingga RM100,000 apabila barang-barang perniagaannya musnah ditenggelami air dalam insiden kepala air, kelmarin.

AHMED Morsi menunjukkan paras air semasa kedainya ditenggelami air disebabkan kepala air dari Air Terjun Telaga Tujuh di medan selera kereta kabel SkyCab Langkawi, Kedah.
Pemiliknya, Ahmed Morsi, 40, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barang di dalam kedainya kerana tidak beroperasi semalam.
“Barang-barang seperti lima buah peti sejuk, ketuhar, mesin kopi dan pinggan mangkuk semuanya musnah kerana ditenggelami air separas pinggang. Saya tidak tahu berapa nilai sebenar, tetapi saya anggarkan lebih RM100,000 kerana ada peti sejuk pameran yang harganya mencecah belasan ribu,” katanya.
Seorang lagi peniaga di situ, Adora Abdul Aziz, 52, berkata, kejadian kepala air ini merupakan yang paling buruk sejak 21 tahun beroperasi.
“Kepala air biasa jadi setiap tahun, tetapi air biasanya setakat paras buku lali. Kali ini air naik sehingga paras pinggang dan alirannya deras sehingga peti sejuk seberat 165 kilogram yang diletakkan dalam kedai terbalik,” ujarnya.
301 MANGSA DIPINDAH KE LIMA PPS DI SEPANG
Sementara itu, seramai 301 mangsa banjir membabitkan 86 ketua isi rumah (KIR) dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS), Sepang, Selangor, sejak kelmarin susulan hujan lebat.

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, PPS berkenaan termasuk Dewan Orang Ramai Kampung Ahmad Razali yang menempatkan 112 orang, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang (57 orang), Balairaya Kampung Semarang (16 orang), Dewan Orang Ramai Dengkil (70 orang) dan Sekolah Rendah Agama Kampung Ahmad Razali (46 orang).
Beliau berkata, hujan lebat selama beberapa jam menyebabkan kawasan rendah di kawasan Dengkil, Jenderam, Desa Pinggiran, Sungai Merab dan Jenderam dinaiki air.
“Difahamkan, berdasarkan kepada trend air Sungai Langat yang semakin meningkat di Dengkil, kawasan hotspot dan berisiko banjir adalah Kampung Sri Tanjung, Kampung Cemperai, Kampung Semarang, Kampung Orang Asli Sungai Melut, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan Kampung Revolusi Hijau,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menasihatkan semua penduduk berhati-hati dan bagi mereka yang terjejas banjir dinasihatkan untuk berhubung terus dengan jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPPK) masing-masing untuk tindakan lanjut.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan agar mematuhi arahan dan panduan daripada pihak berkuasa bagi keselamatan.
PEKA PERUBAHAN CUACA JIKA MAHU BERIADAH DI KAWASAN REKREASI
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengingatkan orang ramai khususnya pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berhasrat beriadah di kawasan rekreasi air supaya peka dengan perubahan cuaca bagi mengelak insiden tidak diingini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, berdasarkan rekod, terdapat tiga negeri iaitu Selangor, Sarawak dan Perak yang dilaporkan banjir ekoran hujan lebat.
“Ketika ini adalah musim cuti bagi IPT dan pastinya ramai yang mengambil peluang untuk bercuti termasuk di kawasan rekreasi air.
“Justeru, kami menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca dengan mendapatkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (Mets Malaysia),” katanya dalam sidang akhbar Pelancaran Kelab Bomba Cilik JBPM di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah di Kuala Lumpur, semalam.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca hujan dan ribut petir yang berlaku sejak beberapa hari lalu berterusan sehingga sebelah malam melibatkan beberapa negeri hari ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan memaklumkan, pada sebelah pagi, Perlis dan Kedah dijangka mengalami cuaca ribut petir di beberapa tempat manakala Selangor juga mengalami cuaca sama di kawasan berdekatan pantai dan Perak dijangka hanya menerima hujan. – UTUSAN










