PUTRAJAYA: Seorang bekas pemandu lori yang didapati bersalah mencekik suami teman wanitanya sehingga mati pada 2014, terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan semalam menggantikannya dengan hukuman penjara 34 tahun.
Jaafar Ngamil, 50, disabitkan membunuh Jamingan Hambali, 44, selepas mangsa bersemuka kerana tidak berpuas hati dengan hubungan sulit lelaki itu dengan isterinya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan lelaki tersebut untuk mengetepikan hukuman mati yang diputuskan terhadapnya.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memerintahkan banduan akhir itu (pemohon) menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 26 Jun 2014.
Pada 4 Mei 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan Jaafar terhadap pertuduhan membunuh mangsa. Hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 15 Disember 2017 dan dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 26 Mac 2019.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad membantah permohonan semakan dan memohon hukuman gantung dikekalkan atas alasan pemohon membunuh mangsa yang juga rakannya.
Sementara itu, peguam Rajit Singh memohon anak guamnya dikenakan hukuman penjara minimum 30 tahun kerana lelaki itu tiada rekod jenayah selain insaf dengan perbuatannya serta telah bercerai dengan isteri.
Jaafar disabitkan membunuh Jamingan dalam sebuah kereta Proton Saga, di antara Lot 2056, Jalan Surau Ilmiah, Tebuk Haji Omar hingga ke kawasan sebuah parit di Jalan Haji Omar, Kampung Banting, Sabak Bernam kira-kira pukul 9.07 malam, 22 Jun 2014 dan 8.30 pagi keesokannya.
Keterangan kes menyatakan, Jamingan tidak berpuas hati selepas mengetahui hubungan isterinya dengan Jaafar, sebelum kedua-dua lelaki itu membuat temu janji bagi mencapai penyelesaian.
Anak saudara pemohon dalam keterangannya memberitahu, lelaki itu memintanya memandu kereta manakala pemohon duduk di belakang tempat duduk penumpang hadapan.
Menurut saksi, dia diminta memberhentikan kenderaan di tepi jalan berhampiran rumah mangsa dan lelaki itu masuk ke dalam kereta serta duduk di bahagian penumpang hadapan.
Dalam perjalanan, pemohon dan mangsa bertengkar dan saksi melihat bapa saudaranya mencekik Jamingan dengan kedua-dua tangan dari belakang menyebabkan lelaki itu meronta-ronta sehingga tidak bersuara.
Mangsa yang merupakan seorang juruletrik ditemukan maut dalam parit berkenaan dalam keadaan terlentang oleh anaknya yang ketika itu dalam perjalanan ke kedai berhampiran manakala keterangan pakar forensik mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan tekanan pada leher.
Pemohon dalam pembelaannya mendakwa tindakannya mencekik mangsa disebabkan provokasi mengejut untuk cuba melindungi anak saudaranya daripada dipukul mangsa selain isu gaji tertangguh yang menjadi punca pertengkaran. – UTUSAN










