Bekas juruterbang Nuri menang RM1 juta SSP BSN

Bekas juruterbang Nuri menang RM1 juta SSP BSN

MOHD. Azhar Mohd. @ Man memenangi hadiah RM1 juta selepas terpilih sebagai pemenang Cabutan Jutawan BSN SSP ke-102 di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang bekas juruterbang helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima rezeki berlipat kali ganda apabila memenangi hadiah RM1 juta, hari ini.

Mohd. Azhar Mohd. @ Man, 53, yang kini bertugas sebagai jurulatih simulator penerbangan di Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas terpilih sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) ke-102.

“Kira-kira dua bulan lalu semasa dalam komuter dari Pulau Pinang ke Alor Setar, saya menerima mesej daripada seorang ustaz menyatakan dia memerlukan RM5,000 bagi membina pagar sekolah agama. 

“Wang tersebut diperlukan segera kerana pagar sudah siap tetapi individu yang berjanji untuk menginfak hartanya bagi tujuan pembinaan itu meninggal dunia secara mengejut. Saya kemudian menyemak akaun dan mendapati hanya terdapat RM1,000. 

“Tanpa berlengah, saya memindahkan wang itu ke akaun ustaz dan memberitahunya saya ‘berhutang’ lagi RM4,000 untuk melangsaikan bayaran tersebut. Rupa-rupanya hari ini Allah nak berikan saya rezeki lebih besar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Terdahulu beliau menerima cek replika daripada Pengerusi BSN, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin yang berkunjung ke Cawangan Utama Negeri BSN Kedah di sini, hari ini.  

Mohd. Azhar berkata, dia sudah menyimpan dalam SSP sejak 20 tahun lalu dan pernah beberapa kali memenangi hadiah-hadiah kecil sebelum ini. 

“Banyak kali juga saya menang hadiah berupa sijil SSP berjumlah antara RM100 dan RM500. Dalam masa sama, saya ada juga memasang impian untuk menang kereta daripada cabutan ini. 

“Alhamdulillah, Allah kurniakan hadiah ini. Benarlah janji Allah mengenai rezeki yang dijanjikan apabila kita berinfak, semuanya betul dan kita perlu yakin dengannya,” katanya. 

Mengulas perancangannya selepas ini, bapa kepada tiga anak itu berkata, perkara pertama yang mahu dilakukannya adalah membayar segala hutang agar dapat menjalani hidup dengan lebih tenang. 

“Selain itu saya akan kongsikan kegembiraan ini dengan isteri dan anak-anak untuk simpanan masa depan mereka. Saya juga merancang untuk membawa mereka menunaikan umrah. Selebihnya, saya merancang untuk menyimpan di BSN dan terus berinfak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN