Bomba tambah aset darat, udara hadapi ancaman Super El Nino

Bomba tambah aset darat, udara hadapi ancaman Super El Nino

MEOR Ismail Meor Akim (tengah) bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Malaysia, Ambun Dindang (lima kanan) bergambar selepas Sesi Libat Urus Bersama Media: Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi Monsun Barat Daya 2026 di Dewan Wawasan Markas SMART di sini hari ini. Turut sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad (enam kanan). UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi fenomena Super El Nino yang dijangka melanda negara antara November hingga Januari depan menerusi penambahan aset darat dan udara.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Nordin Pauzi berkata, penambahan itu termasuk 200 unit Light Operation Vehicle (LOV), 26 dron serta dua helikopter baharu bagi meningkatkan keupayaan operasi pemantauan serta pemadaman kebakaran khususnya di kawasan berisiko.

Jelasnya, penggunaan aset tambahan itu juga dapat membantu mengurangkan beban pasukan udara dalam mengenal pasti lokasi kebakaran sekaligus membolehkan perancangan operasi dibuat dengan lebih berkesan.

“Berdasarkan ramalan ke hadapan, fokus bomba buat masa ini adalah bagaimana kita mahu menangani insiden yang dijangka akan memberi impak apabila Super El Nino berlaku antara November hingga Januari.

“Jadi, penumpuan bomba buat masa ini adalah melihat keadaan menjelang penghujung Januari tahun hadapan bermula dari utara kemudian ke kawasan tengah, selatan dan bersambung ke Sarawak sehingga penghujung April secara menyeluruh berdasarkan pergerakan angin.

“Selain itu, kita juga mengambil kira pengalaman kebakaran hutan sebelum ini termasuk di Sabah yang pernah merekodkan kejadian kebakaran berskala besar iaitu lebih 60 hektar,” katanya kepada pemberita semasa Sesi Libat Urus Bersama Media: Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi Monsun Barat Daya 2026 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), Pulau Meranti, di sini hari ini.

Nordin berkata, persediaan menghadapi fenomena itu turut melibatkan penyelarasan logistik bersama agensi lain bagi memastikan keperluan operasi dapat digerakkan sekiranya berlaku insiden.

Katanya, kerjasama tersebut penting bagi memastikan sumber dan aset sokongan dapat digunakan secara optimum mengikut keperluan semasa di kawasan terjejas.

“Untuk logistik, kita telah menyediakan inventori besar bagi melihat bagaimana koordinasi bukan sahaja daripada logistik bomba tetapi juga daripada logistik pasukan sahabat khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Pertamanya ialah pergerakan mobilisasi pam-pam besar tertakluk kepada Jabatan Meteorologi yang boleh membekalkan air kepada kita. Jadi, ada tempat yang mempunyai bekalan daripada tasik dan ada tempat yang kita akan aturkan bersama Jabatan Meteorologi.

“Pendekatan menyeluruh itu telah kita rancang dan insya-Allah kita berharap tidak akan berlaku episod yang begitu teruk seperti tahun 1997 dan 1998. Kalau berlaku sekalipun, kita telah membuat persiapan dari sekarang untuk menghadapinya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN