TANJUNG MALIM: Bekalan air kawasan yang terjejas ekoran kejadian kepala air di Slim River di sini semalam dijangka pulih sepenuhnya secara berperingkat mulai esok.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yakin dengan sasaran itu berdasarkan gerak kerja secara giat oleh Lembaga Air Perak (LAP) menggantikan paip air yang rosak ekoran bencana berskala tinggi yang tidak dijangka tersebut.
“Kejadian kepala air ini merupakan yang paling besar dalam sejarah Slim River. Semalam, LAP telah mengagihkan enam lori tangki air di kawasan tinggi yang terjejas.
“Setakat ini 40 peratus bekalan air telah pulih dan kawasan yang teruk terjejas ialah di Ulu Slim,” katanya ketika meninjau Jambatan Slim Village yang runtuh ekoran bencana itu petang tadi.
Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Mohammad Nizar memberi jaminan bekalan air akan pulih sepenuhnya secara berperingkat mulai esok.
Dalam pada itu, Lih Kang berkata, beliau akan memastikan kebajikan mangsa dan rakyat terjejas banjir akan menjadi keutamaannya selain memastikan infrastuktur asas yang terjejas dapat dibaiki dengan sepenuhnya segera. – UTUSAN










