Jambatan runtuh akibat kepala air jejas perhubungan penduduk

Jambatan runtuh akibat kepala air jejas perhubungan penduduk

KEADAAN jambatan yang runtuh akibat kejadian kepala air di Kampung Ulu Geruntum di Gopeng ketika tinjauan semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Penduduk di Kampung Orang Asli Ulu Geruntum di sini meminta kerajaan membina jambatan baharu selepas jambatan yang menghubungkan kampung itu runtuh di­sebabkan kepala air berikutan hujan lebat.

Tok Batin kampung tersebut, Bah Judu Bah Tangoi berkata, kejadian pada kira-kira pukul 5.30 petang Jumaat ketika hujan lebat menyebabkan paras air Sungai Ulu Geruntum naik dan berlaku kejadian kepala air yang meruntuhkan jambatan tersebut.

Katanya, kepala air menyebabkan dua jambatan runtuh iaitu jambatan gantung dan jambatan biasa yang menjejaskan perhubungan penduduk terutama untuk mereka yang bekerja dan pelajar sekolah.

“Jambatan runtuh menjejaskan urusan harian penduduk untuk keluar masuk ke kampung ini. Ramai penduduk di kampung ini bekerja di Gopeng dan murid pula sukar untuk ke sekolah.

“Banjir juga menyebabkan bekalan air bersih ke kampung ini terputus kerana paip air yang disambung pada jambatan yang runtuh dihanyutkan air. Kami berharap kerajaan segera membina jambatan untuk kemudahan penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, kejadian kepala air dan banjir yang berlaku, pernah berlaku sebelum ini namun ia sudah terlalu lama.

Katanya, harapan penduduk kampung ketika ini ialah untuk memulihkan perhubungan ke kampung itu yang kini terjejas.

“Kami bimbang jika jamba­tan baharu tidak dibina, ia akan menjejaskan kehadiran murid ke sekolah dan menjejaskan pelajaran mereka.

“Buat masa ini penduduk terpaksa berjalan kaki untuk menyeberangi sungai dan keadaan itu membahayakan mereka,” katanya.

Penduduk, Bah Anjang, 51, berkata, ketika kejadian petang Jumaat kira-kira pukul 5.30 petang, dia terdengar bunyi air yang sangat kuat datang dari ulu sungai.

“Ketika itu hujan lebat selama beberapa jam. Tiba-tiba saya terdengar deruan air sungai yang sangat kuat. Kepala air memusnahkan jambatan yang menjadi nadi perhubungan penduduk.

“Saya tukang kebun sekolah. Disebabkan jambatan runtuh, saya tidak dapat keluar untuk pergi bekerja. Kalau nak keluar masuk kampung hanya boleh ikut tepi sungai dengan berjalan kaki, keadaan sangat bahaya tapi saya kena harungi untuk pergi be­kerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×