IPOH: Penduduk Kampung Tanjung, Simpang Pulai di sini, mahu pihak berkaitan menambak tebing Sungai Raia bagi mengelak kejadian banjir berulang di kampung tersebut.
Ia susulan kejadian banjir yang berlaku di Kampung Tanjung kelmarin apabila air Sungai Raia melimpah masuk ke kawasan penduduk selepas hujan lebat berterusan lebih sejam.
Ketua Kampung Tanjung, Zahari Din, 59, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang apabila air sungai melimpahi tebing sebelum memasuki kawasan kampung dan sebahagian rumah penduduk.
Menurutnya, kejadian itu merupakan kali kedua berlaku di kampung berkenaan selepas banjir pertama yang melanda kawasan tersebut pada tahun 2000.
“Berdasarkan pengalaman banjir pertama, penduduk segera mengambil langkah menyelamatkan barang-barang penting.
“Sistem perparitan juga perlu diperbaiki untuk mengelak banjir pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Beliau berkata, daripada kira-kira 560 penduduk kampung itu, seramai 300 orang terjejas akibat banjir berkenaan.
“Sejak malam semalam penduduk mula membersihkan rumah masing-masing selepas air surut,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Faizul Azfar Abu Hassan, 47, berkata, kejadian berlaku ketika dia baru pulang dari tempat kerja kira-kira pukul 6 petang.
Katanya, hujan lebat menyebabkan paras air Sungai Raia meningkat sebelum melimpahi tebing.
“Apabila dimaklumkan penduduk bahawa air sungai sudah melimpah, saya segera memindahkan kereta dan barang-barang di dalam rumah.
“Peralatan elektrik berjaya diselamatkan. Kami berharap Sungai Raia dapat ditambak bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Noriza Mohd. Rahim, 50, berkata, dia berada di rumah ketika banjir melanda kawasan berkenaan.
“Saya tidak sempat berbuat apa-apa kerana air naik terlalu cepat dan dalam masa singkat sudah melimpahi tebing sungai.
“Paras air mencecah lutut dan saya tidak sempat menyelamatkan sebahagian barang di dalam rumah,” katanya. – UTUSAN










