Bapa kadet TLDM minta polis siasat semula kes kematian anak

Bapa kadet TLDM minta polis siasat semula kes kematian anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bapa kepada pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J Soosaimanicckam membuat laporan polis bagi membuka semula siasatan, susulan Mahkamah Tinggi memutuskan kematian anaknya adalah kes homisid.

Joseph Sinnappan, 70, berkata, dia tampil membuat laporan polis hari ini untuk meminta polis menyiasat semula kes itu.

“Hari ini saya tampil membuat laporan polis bagi meminta Polis Bukit Aman menjalankan siasatan susulan keputusan mahkamah tinggi itu,” katanya ketika ditemui media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, hari ini.

Sementara itu, peguamnya, N Surendran berkata, kejadian berlaku pada Mei 2018 dan walaupun laporan polis dibuat ketika itu, namun tiada tindakan susulan diambil.

“Hari ini, bapanya tampil membuat laporan polis bagi meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman sendiri yang menyiasat pada kadar segera mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kes ini perlu diambil perhatian serius kerana mahkamah sudah memutuskan ia adalah kes homisid,” jelasnya.

Media melaporkan Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak memutuskan kematian pegawai kadet TLDM, J Soosaimanicckam ketika menjalani latihan di KD Sultan Idris, Lumut, enam tahun lalu sebagai kes homisid.

Serentak itu, Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner pada 16 Jun tahun lalu yang memutuskan ‘keputusan terbuka’ berhubung inkues bagi menentukan punca kematian pegawai kadet berkenaan pada 19 Mei 2018.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, pegawai TLDM yang bertanggungjawab terhadap latihan kadet itu sudah menafikan si mati daripada mendapatkan rawatan perubatan sehingga menjurus kepada punca kematian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN