SUNGAI PETANI: Seorang mekanik berusia 60-an, dikompaun RM2,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam Op Bersepadu malam tadi, selepas kenderaan pacuan empat rodanya mengeluarkan asap hitam melebihi had dibenarkan.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Dari Enjin Diesel) 1996.
“Kita mengeluarkan saman kerana lelaki itu memberi alasan tidak logik apabila mendakwa tidak sempat selenggara kenderaan pacuan empat rodanya termasuk tidak menukar minyak hitam sejak membeli kenderaan itu beberapa tahun lalu.
“Had maksimum pelepasan asap hitam yang dibenarkan adalah 50 peratus kelegapan dan pengeluaran melebihi had ditetapkan itu boleh mengakibatkan pencemaran udara,” katanya ketika ditemui pada operasi terbabit.
Operasi melibatkan 70 pegawai dan anggota JAS bersama polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diadakan di dua lokasi berasingan iaitu di Jalan Persekutuan Bakar Arang dan di hadapan Hospital Lama Sungai Petani.
Menurut Sharifah Zakiah, sebanyak 240 kenderaan diperiksa dalam operasi itu dan sebanyak 45 buah kenderaan berenjin diesel menjalani pemerhatian secara visual.
“Kita turut mengeluarkan dua notis arahan di bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan mengarahkan pemilik kenderaan melakukan penyelenggaraan sebelum hadir untuk pemeriksaan semula.
“Pemilik kenderaan diesel diingatkan selenggara kenderaan mengikut jadual bagi mengelak dikompaun di bawah pindaan akta itu yang memperuntukkan denda RM10,000 sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun, berkaitan pencemaran udara,” katanya.
Sementara itu, lima motosikal disita polis kerana melakukan kesalahan mengubah suai struktur dan ekzos selain ditunggang individu tidak memiliki lesen serta di bawah umur 16 tahun.
JPJ turut menyita sebuah motosikal dinaiki penunggang tanpa lesen selain cukai jalan tamat tempoh, tiada insuran dan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain manakala tiga individu ditahan AADK kerana positif dadah jenis methamphetamine. – UTUSAN








