'Arwah sempat pakai busana merdeka' - Bapa - Utusan Malaysia

‘Arwah sempat pakai busana merdeka’ – Bapa

Busana
MOHD. Azril menyiram air ke pusara arwah anaknya, Nur Arissa Safiyya yang selamat dikebumikan dekat Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Piai, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: “Arwah amat gembira memakai busana kemerdekaan itu dan kami tidak menyangka ia permintaan terakhirnya.”

Demikian luahan pilu Mohd. Azril Kamarudin, 35, bapa kepada murid perempuan berusia lapan tahun yang maut dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Kuala Selangor – Rawang di sini, semalam.

Menurutnya, Allahyarham Nur Arissa Safiyya menyatakan hasrat mahu memakai pakaian sempena sambutan hari kemerdekaan minggu lalu.

“Arwah ada memberitahu hanya dia di dalam kelasnya yang belum mempunyai baju merdeka. Bagi memenuhi permintaannya, isteri saya (Norshaniza Mohamad Nayan, 34) kemudian membeli pakaian itu secara dalam talian,” katanya sebak ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, jenazah murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Bestari Jaya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Piai di sini, kira-kira pukul 10.10 pagi.

Tambah Mohd. Azril, anak sulung daripada tiga beradik itu sempat memakai pakaian berkenaan ketika majlis pelancaran bulan kemerdekaan di sekolahnya kelmarin.

“Lebih memilukan apabila ulang tahun kelahiran Nur Arissa juga sepatutnya disambut pada 24 Ogos ini. Namun, ternyata Allah lebih menyayanginya dan kami sekeluarga reda dengan ujian ini,” luahnya.

Busana
MOHD. Azril Kamarudin menyiram air ke pusara arwah anaknya, Nur Arissa Safiyya yang selamat dikebumikan dekat Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Piai, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, dia turut memaklumkan keadaan isterinya yang cedera parah dalam kemalangan tersebut masih lagi menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Tanjong Karang

“Isteri saya telah sedar namun saya masih menunggu laporan imbasan yang dijalankan pihak hospital. Keadaan dia semakin stabil namun mengalami kecederaan di rusuk kanan, pinggul dan tulang belakang,” jelasnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang murid perempuan maut manakala ibunya yang juga guru parah selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori di jalan tersebut.

Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu berlaku ketika dua beranak berkenaan dipercayai menuju pulang ke rumah mereka di sekitar daerah ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Ambia Nordin berkata, Toyota Vios dipandu wanita itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terbabas ke laluan bertentangan.

Ketika kejadian, sebuah lori dipandu lelaki berusia 58 tahun tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN