DHAKA: Semua akaun bank bekas Perdana Menteri dan pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), Khaleda Zia dinyahbekukan selepas 17 tahun.
Perkara itu susulan langkah dibuat Lembaga Hasil Negara (NBR) Bangladesh yang meminta semua bank untuk berbuat demikian ke atas akaun milik Khaleda.
Sebelum ini, semua akaun bank milik Khaleda dibeku sejak Ogos 2007.
Memetik laporan Dhaka Tribute, Cawangan Perisikan Pusat NBR telah menghantar surat kepada semua bank semalam agar akaun Khaleda diaktifkan semula.
Laporan yang memetik sumber berkata, Pengerusi NBR, Abdur Rahman Khan memutuskan demikian setelah mengadakan perbincangan dengan Ketua Kerajaan Sementara Bangladesh, Dr. Muhammad Yunus.
Akaun Khaleda dibeku sejak 17 tahun lalu ekoran keputusan dibuat kerajaan sebelum ini yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina.
Sheikh Hasina dan Khaleda merupakan seteru politik sejak sekian lama dan menyebabkan pemimpin BNP itu dipenjara.
Bagaimanapun ekoran Sheikh Hasina meletakkan jawatan dan melarikan diri ke India, Khaleda dilepaskan.-AGENSI










