PUTRAJAYA: Bertemu pasangan suami isteri sedang menghisap dadah dan membiarkan bayi tanpa diberi susu menjadi titik tolak kepada ‘Abang Susu’ untuk memulakan inisiatif mengedarkan susu formula bayi secara percuma.
Abang Susu atau nama sebenarnya Klaus Lim, 36, berkata, kisah itu menjadi motivasi kepadanya untuk terus berbakti kepada masyarakat yang memerlukan bantuan di seluruh negara.
Dia yang juga Presiden Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Sinar Harapan Batu Pahat berkata, kisah itu sepatutnya tidak boleh dibiarkan berlaku kerana ia suatu penganiayaan terhadap kanak-kanak, malah ibu bapa seperti itu perlu dikenakan tindakan undang-undang.
“Masyarakat sering didedahkan dengan kes penderaan kanak-kanak seperti buli dan pukul, namun mengabaikan kanak-kanak seperti tidak memberi makanan berkhasiat dan susu secukupnya perlu juga dipandang serius pihak bertanggungjawab.
“Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kami membantu semua golongan tanpa mengira kaum dan agama termasuk rakyat Rohingya di Malaysia.
“Tugas membantu rakyat bukan hanya semata-mata diletakkan di bahu kerajaan, sebaliknya semua pihak tidak kira bangsa, kaum dan agama perlu berganding bahu,” katanya.
Katanya, beliau sudah bergiat dalam aktiviti khidmat sosial sejak enam tahun lalu, malah mempunyai cawangan di seluruh negara selain merancang untuk memperluaskan bantuan dari segi kesihatan kritikal rawatan di hospital.
Klaus berkata, khidmat bakti yang digerakkannya itu tidak memerlukan sanjungan, namun sudah cukup sekiranya dapat melihat setiap penerima tersenyum apabila menerima bantuan.
“Pada masa depan, kami merancang memperluas cawangan ke Kemboja dan Thailand supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu.
“Selain itu, kami turut mengalu-alukan kerjasama NGO lain dan agensi kerajaan dalam menjalankan aktiviti kepada masyarakat di masa depan,” katanya. – UTUSAN










