PETALING JAYA: Program Pencarian Global (GSP) anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan kerjasama Korporat Industri Aeroangkasa Negara (NAICO) Malaysia meraih RM325.95 juta jualan eksport bagi syarikat aeroangkasa tempatan.
Program sulung yang diadakan sempena Sidang Kemuncak MyAERO 2026 itu menghubungkan 10 pengeluar Malaysia dengan gergasi aeroangkasa global termasuk Commercial Aircraft Corporation of China (COMAC) dan Safran.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, sektor aeroangkasa Malaysia mencatatkan eksport sebanyak RM3.06 bilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini bagi pembekalan komponen Tahap-1 seperti dorongan pesawat dan komponen struktur kepada pengeluar peralatan asli (OEM) global.
“Kejayaan program GSP ini bersandarkan kepada kekuatan keupayaan pembuatan kita dan bukan sekadar daya saing kos semata-mata. Ia membuktikan akses pembeli secara langsung mampu memacu pertumbuhan eksport dengan lebih pantas.
“Kami memberi tumpuan jitu kepada pendekatan ini bagi memajukan sasaran Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) 2030 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 untuk meletakkan Malaysia sebagai hab aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan.
Inisiatif GSP ini menyokong sasaran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk memangkin pertumbuhan perolehan sebanyak 15 hingga 20 peratus bagi sektor aeroangkasa domestik pada tahun ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia, Ir. Ts. Dr. Shamsul Kamar Abu Samah berkata, nilai jualan kukuh yang dijana daripada 18 sesi padanan perniagaan membuktikan permintaan terhadap keupayaan aeroangkasa Malaysia adalah nyata dan segera.
“Kekuatan kita dalam penyelenggaraan kerangka pesawat dan pangkalan memayungi sektor penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) sedia ada. Namun, untuk mencapai sasaran pertumbuhan MITI, kita perlu beralih secara drastik ke arah kejuruteraan bernilai lebih tinggi, inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.
Susulan momentum positif MyAERO 2026, Matrade bakal mengetuai penyertaan Malaysia di Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough (FIA) 2026 di United Kingdom bermula 20 hingga 24 Julai ini, yang merupakan penampilan keenam berturut-turut agensi itu.
Pavilion Malaysia pada pameran tersebut akan menampilkan 15 pempamer terkemuka termasuk CTRM Aero Composites Sdn. Bhd., UMW Aerospace Sdn. Bhd. dan Malaysia Aviation Group (MAG).
Sejak membuat kemunculan sulung di FIA pada 2014, Malaysia telah berjaya meraih tawaran eksport terkumpul bernilai RM4.8 bilion.
Bagi meluaskan lagi capaian, Matrade turut meluncurkan Pavilion Malaysia Maya menerusi platform Dagangan Digital Madani (MDT) bagi memberikan keterlihatan sepanjang tahun kepada syarikat aeroangkasa tempatan untuk berurusan dengan pembeli antarabangsa. – UTUSAN










