Jangan seolah-olah FIFA lantik awak sebagai ketua yang sekat minat wanita tengok bola - Jasmine Suraya - Utusan Malaysia

Jangan seolah-olah FIFA lantik awak sebagai ketua yang sekat minat wanita tengok bola – Jasmine Suraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Jasmine Suraya bertindak membidas kenyataan seorang individu yang cuba memperlekehkan minat dan pengetahuan golongan wanita dalam sukan bola sepak.

Jasmine atau Jasmine Suraya Chin Xian Mei, 37, berkata, tindakan segelintir individu yang cuba mengehadkan minat wanita terhadap sukan berkenaan sebagai satu perbuatan tidak profesional.

Justeru, kemarahan itu diluahkan selepas ada pihak mendakwa pembabitan golongan wanita menonton perlawanan bola sepak kebelakangan ini hanyalah sekadar mengikut trend semasa.

“Sedikit info, sebelum awak lahir lagi saya sudah menonton perlawanan bola sepak bersama arwah bapa saya. Selepas itu, saya juga pernah mengendalikan siaran langsung Liga Malaysia di televisyen selain bermain permainan video Football Manager.

“Awak pernah jadi apa? Cuba senaraikan kepada saya?,” katanya menerusi balasan komen di Threads miliknya.

Dalam pada itu, Jasmine membidas sikap segelintir peminat yang berlagak seperti penguasa bola sepak dengan menentukan siapa yang layak atau tidak untuk meminati sukan berkenaan.

“Janganlah sibuk mahu menyekat minat orang lain terhadap bola sepak seolah-olah Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melantik anda sebagai ketua. Perbuatan tersebut sangat memalukan,” katanya.

Untuk rekod, Jasmine merupakan seorang pelakon dan pengacara berbakat yang berasal dari Kuching, Sarawak.

Sebelum namanya melonjak naik dalam bidang lakonan, dia terlebih dahulu memulakan kerjaya penyiaran sebagai pengacara sukan dan pernah mengendalikan program bola sepak tempatan popular sekitar pertengahan tahun 2010-an.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN