30 rumah roboh, 196 orang hilang tempat berteduh - Utusan Malaysia

30 rumah roboh, 196 orang hilang tempat berteduh

RUMAH atas air di Lorong 3, Kampung Simunul di Semporna yang roboh semalam-IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Seramai 196 orang hilang tempat berteduh selepas 28 rumah atas air roboh di Lorong 3, Kampung Simunul, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, kesemua rumah berkenaan roboh dipercayai berpunca daripada dua rumah rosak yang tiba-tiba roboh. Kedua-dua rumah itu rosak semasa kejadian ombak besar yang berlaku pada 8 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian rumah roboh itu melibatkan 30 keluarga terdiri daripada 28 buah rumah warga tempatan dan dua rumah warga asing.

“Jumlah isi rumah yang terlibat seramai 190 orang warga tempatan dan enam warga asing. Namun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, kejadian berlaku dipercayai berpunca dari angin kuat serta ombak besar yang berlaku pada 8 Julai lalu yang menyebabkan dua buah rumah mengalami kerosakan. 

Kedua-dua rumah itu tiba-tiba roboh pada pukul 10.15 pagi semalam dan ia mengakibatkan rumah yang lain turut roboh susulan struktur rumah yang dibina berdekatan dan bersambung antara satu sama lain. 

Mohd. Farhan berkata, keluarga yang terjejas telah dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) Dewan PPR Bubul Ria.

Katanya, pos kawalan tempat kejadian (PKTP) telah didirikan di lokasi kejadian bagi menyelaras dan memantau keadaan.

Beberapa agensi berkaitan turut terlibat dalam kerja-kerja menyelamat dan menyelaras termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Jelas beliau, sebanyak 33 laporan polis telah diterima berkaitan rumah yang roboh serta kerugian yang dialami oleh keluarga terlibat untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN