IPOH: Afrika Selatan tidak dapat lari daripada tekanan pihak Barat dalam perjuangan mempertahankan Palestin.
Perkara itu dikongsikan oleh bekas Menteri Hubungan Antarabangsa Afrika Selatan, Naledi Pandor yang hadir serta bercakap di Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT 2024) Ke-7 yang berlangsung di sini.
Dakwanya, sejak mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Januari lalu, Afrika Selatan menerima cubaan tekanan oleh Barat termasuk ada usaha menyingkirkan negara itu daripada menikmati kelebihan dari segi layanan ekonomi.
“Sekarang saya tidak lagi berada dalam kerajaan. Tidak tahu apa akan berlaku seterusnya terhadap usaha ini. Namun ada usaha untuk memberi kesukaran kepada kami,” dakwanya.
Beliau berkata demikian ketika dijemput dalam program khas Bual Bicara Voice of Justice: Naledi Pandor’s Insights on Palestinian Struggle sempena WCIT 2024 di sini semalam yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Naledi yang beragama Islam tidak lagi menjadi menteri susulan kekalahan partinya dalam pilihan raya negara itu pada Mei lalu.
Sewaktu menjawat jawatan Menteri Hubungan Antarabangsa Afrika Selatan dari Mei 2019 sehingga June 2024, beliau dilihat sebagai individu yang tegas mengecam keganasan Israel terhadap Palestin.
Perjuangan itu turut digambarkan melalui keberanian Afrika Selatan mengheret Israel ke ICJ, dengan menuduh rejim Zionis mendalangi tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan mahu penggantungan operasi ketenteraan di bumi Palestin.
Naledi pada masa sama turut melahirkan rasa lega apabila Afrika Selatan kini sudah mempelbagaikan rakan dagangnya meskipun masih melihat potensi besar pasaran Barat seperti Amerika Syarikat. – UTUSAN








