PARLIMEN: Tiada sekatan dagangan susulan pendirian tegas isu Palestin

PARLIMEN: Tiada sekatan dagangan susulan pendirian tegas isu Palestin

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada rekod rasmi menunjukkan Malaysia dikenakan tarif tambahan atau sekatan dagangan oleh mana-mana negara berikutan pendirian tegas terhadap isu Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, berdasarkan maklumat dan statistik Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), data eksport dan import negara kekal stabil dengan rakan dagang utama termasuk Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah meskipun mereka mempunyai hubungan rapat dengan Israel.

“Malah, trend positif ini berterusan sepanjang tempoh 2020 hingga 2024 walaupun Malaysia semakin lantang bersuara dalam isu Palestin terutama selepas tercetusnya konflik di Gaza pada 2021 dan 2023,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Sivaraj Chandran mengenai  pendirian tegas Malaysia dalam isu Palestin memberi sebarang kesan langsung terhadap tarif atau sekatan dagangan oleh negaranegara tertentu.

Mohamad berkata, Malaysia sentiasa berpegang teguh kepada prinsip keamanan sejagat dan konsisten menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin, termasuk melalui kenyataan rasmi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), ASEAN, G20, BRICS dan pelbagai forum antarabangsa lain.

Menurut beliau, kerajaan komited mengekalkan kerjasama ekonomi demi kepentingan bersama dan kestabilan serantau selain terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan kelangsungan ekonomi serta hubungan perdagangan yang sihat dengan negara-negara berkepentingan.

“Pendirian tegas ini berasaskan prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa, dan ia tidak menghalang Malaysia daripada memperkukuh hubungan perdagangan dengan rakan dagang walaupun terdapat perbezaan pandangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN