Tiga simulasi tunjuk PH-BN menang Sungai Bakap - IDE - Utusan Malaysia

Tiga simulasi tunjuk PH-BN menang Sungai Bakap – IDE

Sungai Bakap
PRK N.20 Sungai Bakap mampu mencipta satu sejarah signifikan dalam lanskap politik Malaysia pasca PRU 15 dan PRN lima negeri jika calon PH menang kali ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Perpaduan dilapor berpotensi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang akan berlangsung pada Sabtu ini jika berjaya memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus pengundi kawasan itu keluar mengundi.

Menerusi kajian Institut Darul Ehsan (IDE), jangkaan tersebut dibuat menerusi tiga simulasi bersandarkan kepada peratusan tersebut daripada 39,297 pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Menerusi simulasi pertama, pada kadar 23,765 pengundi keluar mengundi iaitu 60.5 peratus, gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) dijangka memperoleh 12,647 undi berbanding Perikatan Nasional (PN) 10,243 pengundi dan menunjukkan majoriti 2,403.

Bagaimanapun, simulasi kedua dan ketiga dengan unjuran jumlah pengundi keluar mengundi sedikit lebih tinggi sekitar 63 hingga 65 peratus, majoriti yang akan diperolehi PH-BN pula semakin menurun sehingga 2,043 pengundi dan jumlah pengundi PN pula meningkat sehingga 11,294.

Menurut, Pengerusi Eksekutifnya, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, unjuran tersebut dijangkakan berdasarkan tinjauan yang dilakukan terhadap sokongan pengundi BN sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Berdasarkan kepada tren tersebut, peningkatan pengaruh PH dapat dilihat sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), jumlah sokongan parti itu adalah sekitar 1.9 peratus berbanding Pas (3.9 peratus) dan BN (73 peratus).

“Pada survey PRU15 peringkat Parlimen Nibong Tebal, pengaruh PH meningkat kepada 6.8 peatus dan Pas (23.1 peratus), namun defisit bagi BN iaitu (68.6 peratus). Bagaimanapun, gabungan PH-BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu menunjukkan sokongan 59.6 peratus.

“Justeru, sokongan kepada gabungan tersebut pada Sabtu ini dijangkakan meningkat kepada 63.5 peratus sementara PN pula 27 peratus,” katanya pada taklimat pembentangan laporan kajiannya, semalam.

Pada PRN di Pulau Pinang tahun lalu, Calon PN daripada Pas, Allahyarham Nor Zamri Latiff menang di kerusi tersebut dengan majoriti 1,563 undi menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose.

Bagaimanapun, kerusi tersebut mengalami kekosongan luar jangka selepas Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Mohammad Redzuan yang juga Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) memaklumkan, menerusi Survey Landskap Persepsi Rakyat Menjelang PRK DUN Sungai
Bakap menunjukkan keterujaan 87.3 peratus responden untuk keluar mengundi.

Katanya, tinjauan tersebut dilakukan IDE di kesemua daerah mengundi (DM) seluruh kawasan DUN berkenaan selama empat hari sehingga pada hari penamaan calon pada 22 Jun lalu dengan jumlah responden seramai 786 orang.

“Sekitar 64.1 peratus responden menyatakan terdapat ahli keluarga pengundi berdaftar yang tinggal di luar kawasan DUN Sungai Bakap daripada satu hingga empat orang ahli keluarga. Jika melihat kepada trend peratusan turun mengundi PRU 15 Parlimen dan DUN, kebiasaannya akan menurun 10 peratus.

“Keterujaan itu tidak termasuk pengundi DUN Sungai Bakap yang tinggal di luar kawasan. Menjadi tren pengundian dalam pelbagai siri pilihan raya memperlihatkan peratusan turun mengundi bagi pilihan raya kecil adalah kurang dari sentimen PRU,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya lagi, keputusan pada PRK tersebut nanti tidak semestinya seperti diramalkan dan tempoh kempen selama 14 hari membolehkan pelbagai perubahan berlaku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN