Tanah warta Orang Asli terbesar di Perak - Utusan Malaysia

Tanah warta Orang Asli terbesar di Perak

SAARANI Mohamad (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Batin Paling Aktif kepada Rani Bah Ulin pada pelancaran Santuni Masyarakat Orang Asli Perak Sejahtera 2030 dan Simposium Batin 2024 di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sejumlah 33,046.613 ekar telah diwartakan sebagai tanah Orang Asli di Perak, sekali gus dianggap yang terbesar berbanding negeri-negeri lain.

Kerajaan negeri melihat perancangan serta pembangunan tanah yang sistematik perlu disediakan untuk manfaat pewartaan bagi tujuan ekonomi dan pendapatan kepada Orang Asli.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri telah pun menghantar permohonan kepada Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah tentang cadangan pembinaan rumah baharu untuk Orang Asli.

Jelasnya, perkara itu turut dinyatakan sewaktu kerajaan negeri menyertai Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) baru-baru ini dalam mengatasi keperluan pembinaan rumah baharu tersebut.

“Sebelum ini memang ada bantuan bina rumah baharu diberikan kepada masyarkat Orang Asli yang namanya ada dalam senarai e-Kasih.

“Rumah itu pun lama sudah dibuat. Sekarang dikatakan generasi kedua pula, mereka memohon. Jadi kita membuat permohonan. Dalam MaPOA, kita sebut perkara itu sebab itu keperluan bagi masyarakat Orang Asli untuk mendapat rumah yang selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa majlis pelancaran Santuni Masyarakat Orang Asli Perak Sejahtera 2030 dan Simposium Batin 2024 di sini hari ini yang dihadiri lebih 100 wakil masyarakat Orang Asli di Perak.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian anugerah dan penghargaan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang membantu masyarakat Orang Asli di Perak selain meraikan pelajar Orang Asli yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023.

Sementara itu, Saarani berkata, setiap NGO yang ingin memberi perkhidmatan kepada Orang Asli perlu mendapatkan kebenaran pegawai daerah sebagai pengerusi jawatankuasa keselamatan daerah.

“Sepatutnya itu dilakukan. Jadi Pegawai daerah akan tahu dan memantau jikalau ada perkara di luar daripada tujuan asal semasa memberi khidmat sukarela itu,” katanya.

Beliau pada masa sama berharap lebih banyak GLC dan NGO menyertai usaha membantu Orang Asli supaya komuniti tersebut tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN