Komitmen industri perbankan bantu PMKS dihargai – PM

Komitmen industri perbankan bantu PMKS dihargai – PM

ANWAR Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pertahanan, Dalam Negeri dan Luar Negara, Majlis Kebangsaan Persekutuan Emiriah Arab Bersatu (UAE) Dr. Ali Rashid Al Nuaimi, semalam. – FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai komitmen industri perbankan dalam memperluas akses kewangan yang lebih mudah, berpatutan dan bertanggungjawab, terutama membantu pelanggan individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Inisiatif tersebut merangkumi pengenalan Kad Kredit Asas, pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai di ATM bank, serta bantuan bersasar kepada peminjam dan PMKS yang terkesan.

Perdana Menteri berkata, langkah ini jelas menyahut saranan Kerajaan Madani agar sektor kewangan terus mengamalkan nilai ihsan dan ekonomi manusiawi dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat serta perniagaan kecil.

“Dalam keadaan rakyat dan PMKS berdepan tekanan kos serta aliran tunai, institusi kewangan berperanan penting membantu pelanggan mereka dengan penyelesaian yang berhemat, tangkas dan berperikemanusiaan.

“Hatta, saya merakamkan penghargaan kepada industri perbankan negara kerana me­nyahut saranan kerajaan untuk mengorak langkah ke arah sistem kewangan yang lebih manusiawi,” katanya dalam kenya­taan.

Menurut Kementerian Kewangan, Kad Kredit Asas akan memberi pilihan kredit yang lebih ringkas, berpatutan dan terangkum kepada rakyat yang memerlukan kemudahan untuk mengurus aliran tunai harian secara bertanggungjawab.

Katanya, produk ini meng­utamakan kadar pembiayaan yang lebih rendah berbanding ganjaran gaya hidup dan pulangan tunai yang lazim ditawarkan oleh produk kad kredit semasa.

Katanya, kadar pembiayaan bagi kad seumpama ini akan dihadkan pada 14 peratus setahun, berbanding had tertinggi 18 peratus setahun pada masa ini.

“Had kredit juga ditetapkan pada paras lebih terkawal bagi menggalakkan penggunaan kre­dit secara berhemat, manakala pemegang kad kredit sedia ada boleh melaksanakan pemindahan baki kad kredit tertunggak ke akaun Kad Kredit Asas tanpa caj atau bayaran,” katanya.

Di samping itu, katanya, sejak 1 Julai lalu, rakyat Malaysia boleh membuat pengeluaran wang tunai di mana-mana ATM yang dikendalikan oleh bank di Malaysia tanpa dikenakan caj RM1.

Katanya, inisiatif ini merangkumi lebih 14,000 ATM di seluruh negara dan mencerminkan komitmen industri perbankan untuk memastikan perkhidmatan kewangan asas lebih mudah diakses oleh rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN