Lelaki makin tua makin bernafsu?

Lelaki makin tua makin bernafsu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LELAKI semakin tua, semakin kuat nafsu’. Ungkapan ini sering diperkatakan dalam kalangan masyarakat, malah ada yang menganggapnya sebagai satu hakikat.

Lebih-lebih lagi apabila timbul kes gangguan atau jenayah seksual melibatkan warga emas, ramai pantas mengaitkannya dengan usia dan kononnya nafsu lelaki yang semakin memuncak.

Namun, benarkah usia menjadi punca seseorang lelaki lebih bernafsu? Hakikatnya, perubahan tingkah laku seksual apabila meningkat usia jauh lebih kompleks daripada sekadar soal libido.

Pakar Psikologi Klinikal di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Putri Intan Dianah Megat Burhainuddin berkata, ia boleh dipengaruhi oleh perubahan hormon, kesunyian, kehilangan pasangan, kesihatan mental, fungsi otak, malah penyakit seperti demensia yang menjejaskan kawalan diri.

“Keinginan seksual seseorang dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Selain umur, ia turut bergantung kepada tahap kesihatan, hormon, emosi, hubungan dengan pasangan, fungsi otak dan keadaan hidup yang sedang dilalui.

“Dalam sesetengah keadaan, apa yang dilihat sebagai ‘nafsu semakin meningkat’ sebenarnya bukan kerana libido bertambah. Sebaliknya, ia mungkin berpunca daripada kawalan diri yang semakin lemah atau perubahan pada fungsi otak yang menjejaskan keupayaan mengawal impuls.

“Dari sudut biologi pula, peningkatan usia biasanya menyebabkan paras hormon testosteron menurun secara beransur-ansur. Penurunan hormon ini lazimnya dikaitkan dengan kurang tenaga, perubahan mood, masalah fungsi seksual dan penurunan keinginan seksual,” katanya kepada Utusan Malaysia.

HORMON BUKAN PENENTU

Putri Intan Dianah berkata, hormon bukanlah penentu utama. Kesihatan mental, tekanan hidup, penyakit kronik, ubat-ubatan, imej diri dan kepuasan dalam hubungan juga memainkan peranan besar terhadap kehidupan seksual seseorang.

Katanya, ada lelaki yang semakin tua lebih memberi perhatian kepada aspek seksual. Dari sudut psikologi, keadaan itu boleh berlaku, tetapi bukan sesuatu yang normal untuk semua orang.

Menurutnya, apabila usia meningkat, seseorang mungkin berdepan persaraan, kehilangan pasangan, kesunyian atau perubahan identiti diri. Ada yang merasakan mereka tidak lagi dihargai atau takut kehilangan fungsi sebagai lelaki.

“Dalam situasi seperti itu, hubungan intim kadangkala menjadi cara untuk mencari semula rasa disayangi, dihargai atau berasa muda. Ada juga yang mengaitkan seksualiti dengan rasa berkuasa atau keyakinan diri.

“Namun, keinginan seksual yang sihat tetap mempunyai batas. Ia mesti berlaku atas dasar persetujuan kedua-dua pihak, saling menghormati, selamat dan tidak melanggar undang-undang,” katanya.

BERSARA, KESUNYIAN JADI FAKTOR

Persaraan dan kesunyian juga sering menjadi faktor yang mempengaruhi emosi warga emas. Kehidupan yang dahulunya sibuk tiba-tiba menjadi sunyi apabila rutin harian berubah dan anak-anak pula sudah membawa haluan masing-masing.

Putri Intan Dianah berkata, ramai sebenarnya bukan mencari seks semata-mata, sebaliknya merindui keintiman, perhatian dan kasih sayang. Sentuhan, perbualan dan hubungan emosi kadangkala lebih bermakna daripada hubungan seksual itu sendiri.

Malangnya, tidak semua individu mampu menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut secara sihat. Ada yang mengalami tekanan emosi sehingga mencari jalan yang tidak sesuai untuk memenuhi keperluan psikologi mereka.

“Selain faktor emosi, perubahan pada otak juga boleh memberi kesan terhadap tingkah laku seksual seseorang.

“Penuaan biasa tidak menyebabkan seseorang hilang kawalan secara tiba-tiba. Namun, penyakit seperti demensia, strok atau kecederaan otak boleh mengganggu bahagian otak yang mengawal pertimbangan, empati dan kawalan impuls.

“Akibatnya, seseorang mungkin mengeluarkan kata-kata lucah, melakukan sentuhan tidak sesuai atau bertindak melampaui batas,” katanya.

TIDAK BOLEH JADI ALASAN

Putri Intan Dianah menegaskan, perubahan akibat penyakit tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan tingkah laku yang menyalahi undang-undang atau mencederakan orang lain.

Katanya, keinginan seksual dalam kalangan warga emas sebenarnya adalah sesuatu yang normal. Sama seperti golongan muda, mereka juga berhak menikmati kehidupan intim yang sihat jika berlaku antara individu dewasa yang saling bersetuju dan menghormati antara satu sama lain.

Menurutnya, perbezaannya menjadi jelas apabila tingkah laku tersebut melibatkan paksaan, manipulasi, eksploitasi atau individu yang tidak mampu memberi persetujuan seperti kanak-kanak.

“Jenayah seksual lebih berkait dengan penyalahgunaan kuasa, akses mudah kepada mangsa, manipulasi, pengantunan, kurang empati dan kegagalan menghormati sempadan orang lain.

“Apabila mangsa ialah cucu atau ahli keluarga sendiri, unsur kuasa dan kepercayaan sering menjadi senjata utama pelaku. Mangsa pula takut bersuara kerana hubungan kekeluargaan dan tekanan daripada orang sekeliling.

“Jenayah seksual terhadap kanak-kanak juga bukan sekadar soal nafsu. Kanak-kanak tidak mampu memberi persetujuan, justeru setiap perlakuan seksual terhadap mereka adalah satu bentuk eksploitasi dan penderaan.

Ada kemungkinan sesetengah pelaku sebenarnya sudah mempunyai kecenderungan atau corak pemikiran menyimpang sejak muda tetapi tidak pernah dikesan kerana mangsa berdiam diri atau keluarga menutup aib,” katanya.

Jelasnya, tidak semua kes bermula sejak usia muda. Ada juga tingkah laku seksual yang muncul pada usia tua akibat penyakit otak, demensia, kecederaan otak, penggunaan alkohol, kesan ubat atau kehilangan kawalan impuls.

Oleh sebab itu, setiap kes perlu dinilai secara individu dari aspek fizikal, emosi, fikiran dan kesihatan mental. Pemeriksaan boleh dilakukan oleh pakar psikologi klinial, pakar psikiatri, neurologi dan forensik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN