PRN Johor: PH tidak tergugat naratif Pas sokong BN

PRN Johor: PH tidak tergugat naratif Pas sokong BN

MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak tergugat dengan naratif Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang dilihat cuba membina kerjasama politik bagi menyekat kemaraan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pendekatan sedemikian adalah perkara biasa dalam politik, namun rakyat akhirnya akan membuat penilaian berdasarkan prestasi, idea serta kemampuan sesebuah gabungan dalam membawa pembangunan kepada negeri itu.

Beliau berkata, usaha tersebut menunjukkan PN cuba menggunakan ruang politik bagi menafikan sebanyak mungkin kemenangan calon PH pada PRN Johor.

“PN dengan BN ini mereka berkongsi ‘musuh yang sama’ untuk PRN kali ini. Jadi dia gunakan ruang itu untuk menggugat kemaraan PH dengan harapan dia dapat menafikan sebanyak mungkin kerusi yang ditandingi oleh PH itu tidak berjaya.

“Dalam politik ini satu perkara yang biasa, tetapi akhirnya rakyat Johor boleh menilai gabungan mana yang bercakap dan berkempen mewakili rakyat, dan gabungan mana yang sibuk menyusun atur serta bermain dengan politik semata-mata untuk politik kekuasaan, bukan politik untuk membela rakyat di bawah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Muhammad Kamil mengulas gesaan Pas kepada semua pengundi bagi PRN Johor untuk memilih calon BN bagi mana-mana kawasan yang tidak diwakili PN demi mengelakkan kemenangan kepada (PH).

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan Pas itu demi mengelakkan kemenangan kepada PH.

“Saya telah tegaskan, di kawasan yang tidak diwakili oleh PN, pilihlah BN. Elakkan kemenangan PH,” katanya.

Beliau menggesa rakyat me­nggunakan kuasa mengundi dengan memilih pemimpin yang benar-benar mampu berkhidmat kepada rakyat.

Menurutnya, setiap calon perlu dinilai terlebih dahulu sebelum diangkat sebagai wakil rakyat.

“Gunakan kuasa mengundi bagi memilih pemimpin yang benar-benar mampu berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pula meminta rakyat Johor untuk terus memilih kerajaan negeri BN pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi jika mahu agenda Maju Johor 2030 diteruskan tanpa gangguan dan mencapai sasaran.

“Kalau rakyat mahu agenda Maju Johor 2030 dijayakan, mereka kena undi Barisan Nasional, kalau tidak, Nauzubillah.

“Alhamdulillah, saya telah jelajah hampir dua pertiga Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Johor. Saya tengok momentum dia kian meningkat, paling mengujakan bukan sahaja kalangan pengundi Melayu, tetapi juga Cina dan India.

“Mereka mengalu-alukan kehadiran calon kita, mengalu-alukan pemimpin kita di setiap kempen yang dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN