PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka meneruskan prestasi positif pada lingkungan 1,660 hingga 1,670 mata meskipun pelabur kekal berhati-hati menjelang keputusan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor minggu ini.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, keputusan PRN Johor bakal menjadi petunjuk awal terhadap sentimen politik nasional menjelang Pilihan Raya Umum (PRU), namun impaknya terhadap prestasi indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka hanya bersifat sementara.
Katanya, Bursa Malaysia juga berpotensi menguji semula paras rintangan psikologi 1,700 mata dalam tempoh terdekat.
“PRN Johor sememangnya akan diperhatikan oleh pelabur kerana ia dilihat sebagai barometer terhadap kestabilan politik negara. Namun, kesannya terhadap FBM KLCI dijangka lebih kepada sentimen pasaran selama beberapa hari atau minggu selepas keputusan diumumkan.
“Pada masa ini, faktor global seperti dasar kadar faedah, aliran dana asing, prestasi ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan China, perkembangan geopolitik di Asia Barat serta prestasi keuntungan syarikat tersenarai mempunyai pengaruh yang lebih besar terhadap hala tuju Bursa Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai kecenderungan pelabur menjelang pilihan raya, beliau berkata, pelabur institusi lazimnya mengambil pendekatan tunggu dan lihat apabila berdepan ketidaktentuan politik.
“Bagaimanapun, impak PRN Johor terhadap pasaran saham dijangka lebih terhad memandangkan dasar ekonomi negara ditentukan di peringkat Kerajaan Persekutuan, manakala dasar monetari kekal di bawah bidang kuasa bebas BNM.
“Selain itu, kebanyakan syarikat bermodal besar yang tersenarai dalam FBM KLCI turut memperoleh pendapatan daripada pasaran antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Barjoyai berkata, kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan kekal menjadi antara faktor penting dalam penilaian risiko pelaburan.
Katanya, Johor mempunyai kedudukan strategik sebagai pintu masuk utama pelaburan asing, khususnya menerusi pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Kestabilan politik negeri serta kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan akan memberi isyarat positif kepada pelabur bahawa dasar dan projek pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan,” jelasnya.
Menyentuh mengenai prospek pasaran dan keputusan OPR oleh BNM minggu ini, ujar Barjoyai, Bursa Malaysia akan terus bergerak dalam jajaran tertentu dengan kecenderungan meningkat secara berhati-hati.
Katanya, sentimen pasaran masih disokong oleh pemulihan ekonomi domestik, pertumbuhan pelaburan pusat data serta prestasi kukuh sektor kewangan dan perladangan.
“Bagi tempoh akhir minggu ini hingga minggu depan, FBM KLCI dijangka kekal disokong oleh aliran masuk dana institusi serta minat belian terhadap saham-saham yang masih berada pada paras penilaian menarik.
“Bagaimanapun, turun naik pasaran dijangka berterusan berikutan pelabur masih memantau perkembangan ekonomi AS dan beberapa data ekonomi global,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, pasaran saham dijangka bergerak dalam julat 1,675 hingga 1,690 mata minggu ini, disokong oleh jangkaan keputusan PRN Johor yang memihak kepada kerajaan, meskipun kesannya terhadap pasaran dijangka lebih tertumpu kepada sentimen jangka pendek.
Ujarnya, aktiviti belian dijangka meningkat menjelang hari pengundian apabila sebahagian pelabur mengambil kedudukan lebih awal berdasarkan jangkaan keputusan pilihan raya.
“Sudah tentu PRN Johor akan memberi kesan kepada Bursa Malaysia, khususnya pada Jumaat dan Isnin hadapan.
“Sebahagian pelabur dijangka mula membeli saham minggu ini kerana mereka menjangkakan keputusan PRN Johor memihak kepada kerajaan. Jika jangkaan itu menjadi kenyataan, pasaran berpotensi mencatatkan kenaikan pada Isnin depan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat pelabur runcit yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana bimbang menanggung kerugian sekiranya keputusan pilihan raya tidak memihak kepada kerajaan. – UTUSAN










