PETALING JAYA: Ketegasan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim terhadap isu-isu semasa negara berjaya memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
Apatah lagi ketegasan Sultan Ibrahim itu bukan sahaja dizahirkan menerusi titah dalam acara rasmi, sebaliknya menerusi media sosial apabila Seri Paduka sering memberikan peringatan kepada semua pihak tanpa mengira status.
Sikap itu terserlah ekoran isu jualan stoking tertera kalimah Allah apabila Seri Paduka mengingatkan semua pihak supaya lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual bagi mengelak isu seperti berulang pada masa akan datang.

Titah Seri Paduka, semua pihak mesti lebih bertanggungjawab dan berharap ia kali terakhir berlaku.
“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong juga menegaskan supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan atas isu tersebut termasuk menghasut rakyat.
“Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah Seri Paduka.
Menyentuh kestabilan politik negara, Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa Seri Paduka tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan politik negara.
Dalam titah sulung sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, Sultan Ibrahim bertitah, semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.
Seri Paduka juga menegaskan sekiranya ada pihak yang hendak bermain politik, mereka perlulah menunggu pada masa pilihan raya akan datang.
“Semua pihak sedia maklum keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana. Oleh itu, saya berharap semua ahli yang berhormat akan menumpukan usaha untuk membela nasib mereka, bukannya untuk kepentingan parti politik atau diri sendiri,” titah Seri Paduka.
Begitu juga dengan ketegasan terhadap usaha memerangi ancaman rasuah selain Sultan Ibrahim memberi peringatan kepada 222 ahli Parlimen agar memikul tanggungjawab bersama membangunkan negara demi kepentingan rakyat.
Misalnya Sultan Ibrahim mahu kecekapan proses kerja dan tadbir urus setiap agensi kerajaan sentiasa dinilai dan ditingkatkan, bagi memastikan tiada red-tape atau kerenah birokrasi dalam sistem penyampaian kerajaan.
“Saya tidak suka dengan sistem yang banyak red-tape,” tegas Seri Paduka Baginda ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 itu. – UTUSAN










