PETALING JAYA: Malaysia dan Singapura merupakan rakan kongsi strategik yang saling melengkapi khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi serantau.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, kerjasama menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link) menjadi antara projek penting yang akan memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan daya saing kedua-dua negara sebagai pintu masuk utama ke pasaran ASEAN.
Sultan Ibrahim bertitah, perdagangan dua hala yang terus mencatatkan pertumbuhan tatkala keadaan ekonomi global yang tidak menentu mencerminkan keutuhan hubungan dua hala Malaysia dan Singapura.
“Singapura adalah lebih dari sekadar hubungan negara jiran terdekat dengan Malaysia. Ia merupakan rakan kongsi yang amat dihargai serta antara pemacu utama perdagangan dan pelaburan dalam negara.
“JS-SEZ juga mencerminkan kerjasama kita untuk memajukan pertumbuhan ekonomi serantau serta mewujudkan peluang baharu dalam ASEAN,” titah Seri Paduka dalam pertemuan bersama Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam dalam Istiadat Sambutan Negara Sempena Lawatan Negara Presiden Singapura di Istana Negara hari ini.
Sultan Ibrahim turut menyuarakan keyakinan bahawa pelancaran RTS Link yang dijadualkan pada penghujung tahun ini akan mengukuhkan lagi jaringan keterhubungan antara Malaysia dan Singapura.
“Bersama dengan JS-SEZ, saya yakin RTS Link akan memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dan Singapura sebagai pintu masuk utama ke pasaran ASEAN,” titah Sultan Ibrahim.
Terdahulu, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Istiadat Sambutan Negara sempena lawatan negara Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam dan isteri, Jane Ittogi di Istana Negara.
Lawatan Negara itu merupakan yang keempat diterima sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 selepas lawatan Sultan Brunei, Presiden China dan Presiden Indonesia.- UTUSAN










