PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan bantuan peribadi sebanyak RM500,000 untuk mangsa kebakaran di daerah Kudat dan Sandakan, Sabah, hari ini.
Menurut Facebook Sultan Ibrahim, lebih 1,000 mangsa terjejas dalam kejadian berasingan di daerah berkenaan pada April baru-baru ini.
Seri Paduka juga berkenan menyaksikan penyerahan kurniaan oleh Pemegang Amanah Urusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), Tan Sri Avinderjit Singh kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Istana Negara.
Sebelum ini, kebakaran di Kampung Gumpa, Kudat pada 16 April memusnahkan lapan rumah dan menjejaskan 67 mangsa daripada 18 Ketua Isi Rumah.
Kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan pula adalah insiden berskala besar yang memusnahkan 1,050 daripada 1,200 rumah di kawasan berkenaan.
Kejadian itu turut menjejaskan sekurang-kurangnya 914 KIR.
Kerajaan Negeri Sabah menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah kini sedang menyelaras bantuan kebajikan, bantuan kemanusiaan serta usaha penempatan semula bagi mangsa yang terlibat. – UTUSAN










