TUMPAT: Seorang isteri terpaksa mengambil upah mesin rumput bagi menyara keluarga selepas suaminya tidak boleh bekerja akibat penyakit jantung dan gout.
Nor Amirah Safiai, 31, berkata, dia mengambil alih tugas itu sejak tiga tahun lalu.
“Walaupun suami mendapat bantuan bulanan RM250, ia digunakan untuk membeli keperluan ubat-ubatan setiap bulan.
“Sejak suami (Abdullah Ab. Halim, 32) sakit, saya terpaksa melakukan pekerjaan tersebut bagi memastikan dapur rumah terus berasap,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kajang Sebidang, di sini kelmarin.
Nor Amirah memberitahu, dia mendapat upah RM50 untuk setiap pekerjaan yang dilakukannya namun pendapatannya tidak menentu.
Katanya, kebanyakan pekerjaan itu dilakukan di sekitar daerah ini dan Kota Bharu.
“Selain itu, saya dan suami akan turut mengambil upah mencuci masjid dan surau sebagai pendapatan tambahan. Selagi upaya, saya akan terus bekerja kerana tidak mahu menyusahkan orang lain,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 03148020120359 (Nor Amirah Safiai) atau menghubunginya di talian 014-6679364. – UTUSAN







