Suami isteri disyaki dera dua anak direman - Utusan Malaysia

Suami isteri disyaki dera dua anak direman

ANGGOTA polis mengiringi pasangan suami isteri yang disyaki mendera anak di Jalan Jabur Kubur, keluar selepas keluar dari Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Sepasang suami isteri yang disyaki mendera dua anak berusia enam dan tujuh tahun, di kediaman mereka di Jalan Jabur Kubur, Chukai, di sini, direman selama enam hari bermula hari ini hingga Jumaat.

Reman ke atas kedua-dua suspek perempuan berusia 26 tahun dan suaminya berusia 30 tahun itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin selepas menerima permohonan daripada pihak polis, hari ini.

Reman tersebut diperintahkan bagi membolehkan suspek yang merupakan ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak perempuan dan lelaki itu dilakukan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua suspek ditahan kira-kira pukul 8 malam tadi, selepas pihak polis menerima laporan daripada orang awam yang melihat salah seorang suspek mendera salah seorang anaknya di sekitar kawasan kediamannya kira-kira pukul 5 petang semalam.

“Saksi mendakwa melihat wanita itu menyepak dan menampar pipi salah seorang mangsa berulang kali.

“Susulan itu, kita telah ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan awal ke atas dua adik beradik itu mendapati terdapat kesan kecederaan lama dan baru pada hampir keseluruhan badan kedua-dua kanak-kanak itu,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan urin ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dan pihaknya akan melakukan siasatan secara menyeluruh berhubung kes itu.

“Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan abangnya berusia tujuh tahun itu masih dirawat di Hospital Kemaman dan kita akan serahkan adik beradik ini dibawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selepas ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN