WASHINGTON: Pesawat supersonik eksperimen milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang digelar ‘Son of Concorde’ berjaya melepasi kelajuan bunyi buat kali pertama.
Ia sekali gus akan membuka era baharu pesawat penerbangan ultra-pantas.
Pesawat bernilai AS$247 juta (RM1 bilion) yang dinamakan X-59 itu mencecah kelajuan maksimum Mach 1.1 atau 1,150 kilometer sejam (km/j) dalam satu penerbangan ujian pada Jumaat, 5 Jun lalu.
Juruterbang ujian, Jim ‘Clue’ Less mengendalikan pesawat itu dari Pangkalan Tentera Udara Edwards di California, sebelum melonjak ke ketinggian 13,200 meter untuk mencatatkan rekod kelajuan baharu tersebut.
Meskipun ujian tersebut hanya berlangsung selama 81 minit, ia merupakan langkah pertama ke arah merealisasikan semula penerbangan supersonik komersial dari London ke New York dalam masa kurang empat jam sejak pesawat Concorde ditamatkan perkhidmatan.
Bagaimanapun, agensi angkasa lepas itu merancang untuk menguji keupayaan pesawat berkenaan ke tahap yang lebih ekstrem.
Pentadbir NASA, Jared Isaacman memaklumkan bahawa X-59 bakal diterbangkan semula dalam masa terdekat dan dijangka mampu mencecah kelajuan Mach 1.4 atau 1,490 km/j.
Sesi ujian seterusnya akan membuktikan sama ada reka bentuk luar biasa pesawat itu benar-benar mampu mengurangkan kesan dentuman sonik seperti yang diharapkan oleh NASA.
X-59 direka khas untuk menyelesaikan salah satu masalah utama penerbangan supersonik sebelum ini, iaitu pencemaran bunyi akibat dentuman sonik erlampau kuat.
Apabila sesebuah jet memecut laju di udara, ia menghasilkan gelombang kejutan yang termampat. – AGENSI










