OSLO: Sebuah mahkamah di Oslo pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas anak lelaki Putera Mahkota Norway, Marius Borg Hoiby atas dua pertuduhan rogol dan 32 kesalahan lain, dalam satu skandal berprofil tinggi yang telah menggemparkan institusi monarki negara itu.
Hoiby, 29, anak kepada Puteri Mahkota Mette-Marit daripada hubungan sebelum perkahwinannya dengan Putera Mahkota Haakon, pada 2001, pada awalnya berdepan 40 pertuduhan termasuk rogol, kesalahan trafik dan lain-lain, dengan hukuman maksimum boleh mencecah 16 tahun penjara.
Salah satu kes rogol yang disabitkan berlaku di kediaman rasmi pasangan diraja itu pada 2018.
Mahkamah turut membebaskan Hoiby daripada dua pertuduhan rogol lain, namun mensabitkannya atas penderaan rumah tangga berulang terhadap bekas teman wanita, kesalahan trafik, ugutan, kes dadah dan beberapa kesalahan lain.
Pihak pendakwaan sebelum ini meminta hukuman penjara tujuh tahun tujuh bulan, namun peguam Hoiby berhujah agar beliau dikenakan hukuman 18 bulan bagi pertuduhan yang diakuinya.
Hoiby tidak hadir di mahkamah ketika keputusan dibacakan, tetapi mengikuti prosiding melalui pautan video.
Salah seorang mangsa rogol di dalam mahkamah dilaporkan rebah menangis apabila hakim membacakan keputusan sabitan terhadap kesnya.
Pendakwa raya, Sturla Henriksbø berkata bahawa hukuman itu adalah panjang dan tegas serta sepadan dengan keseriusan jenayah yang dilakukan.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan itu menunjukkan bahawa tiada sesiapa berada di atas undang-undang, tanpa mengira status atau hubungan keluarga.
Kes ini turut mendedahkan kehidupan peribadi Hoiby yang penuh dengan penyalahgunaan alkohol dan dadah serta gaya hidup berlebihan, menurut keterangan dalam perbicaraan. – AFP










