PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti keseluruhan dokumen berkaitan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN 2/2024) terhadap HRD Corp bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, beberapa dokumen berkaitan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 terhadap HRD Corp telah diterima pihaknya.
Menurut kenyataan itu, dokumen-dokumen tersebut telah diserahkan kepada SPRM oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud pada pukul 11:30 pagi, hari ini.
“Selain kesalahan jenayah, SPRM juga akan meneliti isu-isu kelemahan tatakelola yang dibangkitkan dalam LKAN 2/2024,” jelas kenyataan itu.
Media melaporkan, pengurusan dana RM41 bilion melibatkan 11 kementerian dikesan mempunyai banyak kelemahan dalam melaksanakan pelbagai program, projek dan aktiviti kerajaan.
la didedahkan dalam LKAN 2/2024 menerusi sembilan pengauditan meliputi projek-projek yang telah dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sehingga RMK-12. – UTUSAN










