Sindiket pelaburan Pimco babit kerugian RM21 juta tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket pelaburan Pimco babit kerugian RM21 juta tumpas

Datuk Seri Ramli Mohamed Yusof
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima individu termasuk dua wanita dipercayai terlibat dengan penipuan pelaburan Pimco dianggarkan kerugian kira-kira RM21 juta melalui serbuan di lima  negeri, 15 Julai lalu. 

Kesemua individu berusia 31 hingga 54 tahun itu ditahan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu di Lembah Klang, Melaka, Pahang, Johor dan Sarawak. 

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tangkapan membabitkan individu dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat dan setiausaha syarikat yang digunakan sebagai keldai akaun oleh sindiket terbabit. 

Katanya, ini susulan pihaknya menerima 48 laporan di seluruh negara berhubung kegiatan itu. 

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, sindiket ini dipercayai aktif mengiklankan pelaburan melalui Facebook sejak Mac lalu dengan menawarkan perkhidmatan urus niaga saham syarikat Malaysia, Taiwan dan China. 

“Pelabur yang berminat akan dihubungi dan dimasukkan ke kumpulan WhatsApp pelaburan terbabit sebelum diminta memuat turun aplikasi T Rowe untuk mendaftar sebagai ahli. 

“Sebaik pendaftaran selesai, pelabur akan dihubungi sindiket dan diarahkan untuk membuat pembayaran ke beberapa akaun syarikat bagi memulakan pelaburan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini hari ini.

Menurut Ramli, pelabur telah dijanjikan pulangan lumayan sehingga 400 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat. 

Jelas beliau, selepas pelaburan dibuat, mangsa dimaklumkan bahawa pelaburan itu menjana keuntungan tetapi kemudian diarahkan membuat pelbagai bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan sebelum mereka menyedari ditipu. 

“Malah, sindiket berkenaan dikesan menubuhkan syarikat bagi menyalur wang hasil penipuan pelaburan dalam talian. 

 “Dalam serbuan itu, kita turut merampas dua telefon bimbit dan membekukan sebanyak 15 akaun bank dengan nilai RM474,395, setakat ini. 

“Tindakan turut diambil mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya. 

Beliau menyeru sekiranya ada individu lain menjadi mangsa penipuan sindiket ini supaya tampil membuat laporan polis. 

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung sindiket ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN