KUALA LUMPUR: Para pengundi Cina wajib untuk menolak daripada mengundi 15 calon parti Bersama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini jika tidak mahu undi mereka sekadar menjadi sia-sia kerana memecah-belahkan sokongan kepada PH.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tebrau, Jalex Lee En Xiang berkata, pihaknya boleh melihat fokus utama parti Bersama adalah meraih sokongan pengundi Cina dengan mengenengahkan isu-isu melibatkan masyarakat itu.
Berbeza dengan pendekatan PH, beliau yang juga calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis berkata, objektif utama gabungan parti ini adalah untuk menjadi Kerajaan Negeri demi memberi manfaat paling baik kepada semua rakyat Johor kerana sealiran dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kita boleh nampak parti Bersama mahu meraih pengundi Cina apabila banyak kenyataan yang mereka keluarkan fokusnya adalah ketengahkan isu masyarakat Cina.
“Tetapi objektif PH pula adalah menjadi kerajaan negeri ini untuk memberi manfaat paling baik demi rakyat Johor keseluruhannya kerana sealiran Kerajaan Persekutuan, jadi fokus pembangunan negeri adalah lebih baik,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, gerak kerja Bersama mungkin memberi manfaat kepada PN dengan dengan menarik sokongan pengundi progresif, memecahkan undi bukan Melayu, sekali gus membuka ruang kepada kemenangan PN, khususnya di kawasan campuran.
Dalam pada itu, beliau berkata, jentera PH akan berusaha untuk menangkan lebih banyak kerusi bagi PRN Johor kali ini sekali gus mampu membentu Kerajaan Negeri.
“Kita harap Kerajaan Negeri adalah sealiran dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN










