ARLINGTON: Jurulatih Australia, Tony Popovic menyeru barisan pemainnya agar melakar sejarah baharu dengan meletakkan nama negara itu di peta bola sepak dunia menjelang aksi pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026 menentang Mesir, esok.
Menurut Popovic, skuad Socceroos kini berada dalam keadaan terbaik selepas berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan dan bertekad menghadiahkan kemenangan pertama Australia dalam aksi kalah mati di pentas Piala Dunia.
“Kami gembira dapat berada di sini. Kami telah bekerja keras untuk layak ke peringkat ini dan sememangnya layak berada dalam kelompok 32 pasukan terbaik.
“Kami juga berasa tenang, selesa serta sudah membuat persiapan rapi. Ini adalah perlawanan yang istimewa dan kami mahu memperagakan kemampuan bola sepak Australia di pentas dunia,” katanya pada sidang media.
Australia membuka kempen mereka di kejohanan itu dengan menewaskan Turki 2-0 sebelum tewas kepada tuan rumah bersama, Amerika Syarikat. Mereka kemudiannya mengikat Paraguay untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati.
Popovic berkata, meskipun Mesir hadir dengan keyakinan tinggi selepas mencatat kemenangan sulung dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia pada saingan peringkat kumpulan, dia percaya Australia memiliki kemampuan untuk mara lebih jauh.
Menurutnya, skuad bimbingannya dibarisi gabungan pemain muda dan berpengalaman, termasuk pertahanan tengah berusia 18 tahun, Lucas Herrington yang kini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.
“Kami cukup baik untuk memberikan persembahan yang berkualiti. Tugas kami adalah memastikan segala yang dirancang dapat diterjemahkan di atas padang, sama ada dalam tempoh 90 minit, masa tambahan atau menerusi penentuan sepakan penalti.
“Saya menjangkakan perlawanan ini lebih mencabar berbanding aksi sebelum ini kerana ia adalah perlawanan kalah mati. Kami menghormati Mesir, namun pada masa sama saya percaya kami masih mampu mempamerkan aksi yang lebih baik.
“Jika kami bermain pada tahap terbaik, kami mempunyai peluang untuk mencipta sejarah,” katanya. – AFP










