PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan syarikat dalam sektor peruncitan untuk patuh undang-undang yang terkait dengan tanggungjawab menyerah simpan maklumat pemilikan bermanfaat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum 30 September ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tanggungjawab baharu berhubung kerangka pelaporan bermanfaat itu termasuk dalam undang-undang yang berkuatm,kuasa sejak 1 April lalu selaras pindaan terhadap Akta Syarikat 2016 (Akta 777) (kini diwarta sebagai Akta Syarikat (Pindaan) 2024.
Sehubungan itu, katanya, sebanyak 340,637 syarikat membuat transaksi serah simpan maklumat pemilikan bermanfaat setakat 1 April hingga 14 Julai lalu.
“Peruntukan perundangan baharu mewajibkan setiap syarikat mengenal pasti pemilik bermanfaat iaitu individu yang mengawal syarikat tersebut.
“Apa yang dimaksudkan dengan kawalan adalah pemilikan saham pada kadar 20 peratus ke atas atau berkeupayaan mengawal keputusan akhir yang dibuat oleh lembaga pengarah syarikat tersebut.
“Melalui peruntukan baharu ini, individu yang memenuhi kriteria pemilik bermanfaat hendaklah melaporkan status mereka kepada syarikat dan syarikat pula perlu menyimpan maklumat tersebut serta melaporkan maklumat sama kepada SSM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Armizan, perundangan baharu itu adalah komitmen KPDN dan SSM untuk bersama menggerakkan strategi dan pendekatan menyokong agenda reformasi dalam memperkukuh kerangka tatakelola kerajaan dan tadbir urusan negara.
“Penambahbaikan kerangka pelaporan pemilikan bermanfaat dilaksana mengambil kira perkembangan terkini di peringkat antarabangsa dalam memerangi aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakan cukai.
“Kedudukan Malaysia dalam menangani aktiviti tersebut sedang dinilai pelbagai badan antarabangsa seperti Financial Action Task Force (FATF) bermula hujung tahun ini sehingga tahun hadapan,” katanya.
Katanya, SSM telah mengumumkan tempoh menyerah simpan maklumat pemilikan bermanfaat di bawah Akta Syarikat (Pindaan) 2024 dari 1 April 2024 hingga 30 September 2024 tanpa dikenakan fi lewat serah simpan dan fi rektifikasi.
“Tempoh ini bagi memastikan semua syarikat mempunyai masa yang cukup untuk memenuhi keperluan tersebut melalui sistem e-BOS (Electronic Beneficial Ownership System),” katanya. – UTUSAN










