KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menegaskan sebarang bentuk tawaran pelaburan melalui platform media sosial adalah dianggap penipuan.
Bagaimanapun, mana-mana ketua pegawai eksekutif (CEO) institusi pelaburan yang ‘tidak senang’ dengan kenyataan itu diminta tampil mengesahkan pelaburan mereka di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penipuan pelaburan merupakan antara kategori jenayah yang mencatatkan kerugian yang tertinggi bagi tempoh dua tahun ini.
Katanya, pada 2023, sebanyak 5,386 kes penipuan pelaburan dicatatkan dengan nilai kerugian RM472.1 juta.
“Nilai kerugian ini adalah bersamaan 38.7 peratus berbanding keseluruhan nilai kerugian bagi kes penipuan dalam talian yang dicatatkan pada tahun tersebut.
“Setakat Jun lalu, sebanyak 2,699 kes telah dicatatkan dengan nilai kerugian RM345.6 juta atau bersamaan 45.9 peratus daripada keseluruhan nilai kerugian penipuan dalam talian yang dicatatkan bagi tempoh yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.
Tegas beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan kandungan iklan dihasilkan melalui teknologi deepfake yang mampu memalsukan wajah seseorang dalam video atau audio sebelum digunakan untuk memperdaya mangsa.
Tambahnya, sekiranya Al (kecerdasan buatan) digunakan untuk penyamaran sebagai CEO tersebut, maka perkara ini bolehlah dilaporkan.
“Saya yakin, kaedah ini akan dapat mengurangkan kes penipuan secara drastik di samping meningkatkan keyakinan masyarakat berkaitan tawaran pelaburan di media sosial,” katanya.- UTUSAN










