RUU Mufti selari konsep undang-undang tubuh Kelantan - Mufti

RUU Mufti selari konsep undang-undang tubuh Kelantan – Mufti

Datuk Mohamad Shukri Mohamad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Mufti Kelantan menegaskan Rang Undang Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) adalah selari dengan konsep Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan yang diamalkan di negeri sejak sekian lama.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ini kerana kedua-dua undang-undang yang digunapakai itu ialah Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan.

Menurutnya, RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) ini adalah sealiran dengan konsep perpaduan umat Islam pada dasar Ahlus Sunnah Wal Jama’ah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah.

“Bagi saya, kita bersetuju dengan RUU Wilayah Persekutuan kerana ia selari dengan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan yang diamalkan di Kelantan sejak sekian lama.

“Saya berasa bangga dengan pandangan ulama terdahulu kerana sudah membincangkan dan memperuntukkan perkara ini demi kesejahteraan umat Islam,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ahli Politik dan SPRM Negeri Kelantan Komited Memperkasa Budaya Tolak Rasuah di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mohamad Shukri memberitahu, perkara tersebut tidak harus dilihat dari sudut akademik semata-mata tetapi ia perlu dilihat dari segi amalan akidah dan tasawuf.

“Jangan bercakap pasal akademik kerana dari segi akademik terlalu banyak pandangan mazhabnya. Tetapi kita perlu mengambilnya dari aspek amalan untuk penyelarasan dan keharmonian masyarakat,” ujarnya.

Terdahulu, Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Menerusi rang undang-undang itu, ia juga memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN