INSTITUT Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merasa kesal terhadap kenyataan terbuka oleh seorang ahli akademik tanpa menjaga batas kehormatan terhadap institusi pentadbiran agama berikutan pertikaian berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
IKIM ingin menegaskan kepentingan menghormati institusi pentadbiran agama dan proses perundangan yang sedang berjalan. Saranan ahli akademik tersebut yang hanya berdasarkan perbezaan pandangan adalah tindakan yang terburu-buru dan boleh menjejaskan kredibiliti institusi pentadbiran agama serta melangkau adab dan tatasusila kesopanan.
IKIM memahami bahawa RUU Mufti Wilayah Persekutuan telah menimbulkan perdebatan dan perbezaan pendapat. Namun, adalah penting untuk semua pihak mengamalkan sikap terbuka dan berbincang secara berhemah dalam mencari penyelesaian terbaik.
Sehubungan itu, IKIM ingin menasihati ahli akademik tersebut memohon maaf di atas keterlanjuran ini dan menyeru semua pihak yang memerlukan penjelasan lanjut berkenaan RUU Mufti Wilayah Persekutuan untuk merujuk penjelasan terkini oleh Sahibul
Samahah Mufti Wilayah Persekutuan dalam slot Analisis TV AlHijrah pada 29 Oktober 2024 yang lalu.
IKIM percaya bahawa Mufti Wilayah Persekutuan, sebagai pihak berautoriti dalam hal ehwal agama, telah memberikan penjelasan yang komprehensif terhadap isu yang dibangkitkan. IKIM juga menyeru semua pihak agar menghentikan sebarang spekulasi dan provokasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan. Marilah kita bersama-sama mengekalkan kehormatan institusi pentadbiran agama, menjaga keharmonian dan kestabilan negara. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DATUK DR. MOHAMAD AZAM MOHAMED ADIL
Ketua Pengarah, Institut Kefahaman
Islam Malaysia (IKIM)











