KOTA BHARU: Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegaskan, kisah silam tokoh-tokoh Islam ketika zaman jahiliah tidak wajar diungkit kerana Islam sendiri menghapuskan dosa serta sejarah lampau seseorang selepas memeluk agama itu.
Beliau berkata, Allah sudah memadamkan segala kisah silam seseorang mualaf sebaik sahaja individu itu mengucap dua kalimah syahadah sehingga dijanjikan syurga sekiranya meninggal dunia selepas memeluk Islam.
“Dia (mualaf) disucikan dan ditolak habis cerita lamanya. Dia baru terima syahadah, baru masuk Islam… kalau mati ketika itu, syurga balasannya.
“Maknanya Allah padam cerita-cerita lama itu. Jadi kita tidak perlu ungkit-ungkit atau mahu timbulkan balik gambaran zaman jahiliah itu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau diminta mengulas video tular berdurasi 6.10 minit dimuat naik menerusi akaun TikTok ‘Kaum Muda’ yang memaparkan teguran terhadap ucapan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik
Muhammad Zawawi Salleh berkaitan kehidupan para Sahabat, Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab pada zaman jahiliah.
Mohamad Shukri bagaimanapun kekal dengan pendirian tidak mahu mencampuri polemik politik dan memilih mengambil pendekatan ulama tersohor Kelantan, Tok Kenali yang mengelak daripada terlibat dalam pertikaian atau khilaf yang boleh mencetuskan perbalahan.
“Kajian menunjukkan dia bukan tidur, sebaliknya apabila ada orang memulakan perbincangan yang mencetuskan perbalahan ulama atau khilaf ulama, dia tidak sudi mendengar lalu memejamkan mata.
“Kalau saya pakai baju pensyarah mungkin saya ulas, tetapi sekarang saya pakai baju Mufti, saya tidak mahu ulaslah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan dunia politik sebagai ‘laga ayam’ kerana ahli politik sentiasa hidup dengan isu dan pertentangan.
“Apa yang saya perhatikan, orang politik ini kalau berbalah lain sikapnya dan kalau berbaik lain pula sikapnya,” katanya. – UTUSAN









