Tidak perlu keliru fitrah RM7 kerana ia tetap sah

Tidak perlu keliru fitrah RM7 kerana ia tetap sah

Seorang pembayar zakat menunaikan Rukun Islam Keempat itu ketika mengunjungi Bazar Ramadan Bandar Baru Uda, Johor Bahru, baru-baru ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Umat Islam tidak perlu keliru dengan kadar pembayaran zakat fitrah tahun ini sebanyak RM7 kerana ia tetap sah walaupun individu terlibat memakan beras import.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegaskan, hal ini kerana bayaran tersebut merupakan jumlah purata yang diperoleh selepas kedua-dua harga beras iaitu tempatan dan import dicampur.

“Sebagai contoh di Kelantan, kita telah campur jenis-jenis beras yang dimakan oleh umat Islam di negeri ini. Jadi kita akan gaul semua jenis sama ada beras hancur, sederhana dan terbaik untuk dapatkan harga purata.

“Kalau di sini kadarnya RM7, tetapi diberi galakan untuk keluarkan RM14 atau RM21.

“Jadi di Kelantan tidak berbangkitlah makan beras luar atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohamad Shukri memberitahu, bayaran di bawah harga yang telah ditetapkan oleh pemerintah sebanyak RM7 tidak sah jika ada yang berbuat demikian.

Katanya, zakat fitrah di setiap negeri ditetapkan oleh pemerintah iaitu Sultan sebagai Ketua Agama Islam yang kemudiannya menurunkan kuasa tersebut kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk menetapkan jumlah tersebut selaku pihak pentadbir.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia, Dr. Mohd Roslan Mohd. Nor berkata, kadar RM7 itu tidak membebankan umat Islam dan yakin kadar tersebut telah dibincangkan dengan semua pihak.

“Apabila urusan berkaitan dengan zakat, ia sudah pasti diputuskan melalui proses perbincangan di peringkat majlis agama. Semua pertimbangan telah diambil kira dan kita minta supaya masyarakat ikut apa yang ditetapkan.

“Kita perlu faham harga zakat bukan berlandaskan kepada beras import. Kita makan beras import pun kerana beras tempatan tidak banyak dalam pasaran negara dan kesalahan itu tidak perlu diletakkan kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, mana-mana individu umat Islam tidak kira sama ada memakan beras tempatan atau beras lebih tinggi kualitinya, tetap sah zakat fitrahnya jika dibayar mengikut kadar asas yang ditetapkan berjumlah RM7 seorang bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Katanya, pemilihan harga yang lebih tinggi bukannya satu kewajipan, sebaliknya hanya sebagai satu galakan dan dianggap lebih baik jika berkemampuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN