Berdosa terlibat ah long - Mufti Kelantan - Utusan Malaysia

Berdosa terlibat ah long – Mufti Kelantan

Mohamad Shukri Mohamad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed menasihatkan umat Islam mengelak daripada terlibat meminjam wang dengan ah long, menjadi ah long atau bersubahat dan berkhidmat dengan ah long untuk memungut hutang.

Menurutnya, kesemua aktiviti tersebut berkait pinjaman yang berkonsepkan riba dan hukumnya haram di sisi Islam.

“Memandangkan ia hanya menambahkan dosa, selain penyebab mudarat sosial yang lain, maka, jangan sekali-kali menjadikannya pilihan untuk menyelesaikan masalah kewangan atau ‘maslahah’ kehidupan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sehubungan itu beliau berpesan kepada umat Islam yang gemar berhutang agar menghentikan tabiat tersebut manakala golongan pemberi pinjaman serta kumpulan ‘Ayahanda’ yang bekerja untuk pemberi pinjaman berhenti daripada terlibat dengan kegiatan berkenaan.

Mohamad Shukri juga menegaskan, walaupun riba itu tidaklah berganda atau sekadar mengenakan faedah yang kecil selain mempunyai lesen, kesemuanya tetap tidak dibenarkan Islam.

Golongan yang berdepan suasana darurat kata beliau, bagaimanapun ada kelonggaran untuk berhutang bagi menyelesaikan maslahah kehidupan peribadi itu dengan cara meminjam daripada ah long atau mana-mana ceti.

“Namun, tiada maaf bagi individu yang memiliki ‘penyakit’ suka berhutang dan kekal memilih cara itu walaupun dia tahu kesan atau akibat terpaksa ditanggung sekiranya faedah berganda gagal dilunaskan.

“Sama jugalah hukum berdosa bagi individu digelar ‘Ayahanda’ kawasan sebagaimana surat khabar laporkan yang bersubahat memungut hutang dan memudahkan urusan ah long,” katanya.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kegiatan Ayahanda yang membantu ah long yang beroperasi di luar Kelantan masuk ke kampung-kampung di negeri ini untuk memburu peminjam yang gagal melangsaikan hutang mereka.

Golongan berusia lingkungan 30 tahun hingga 50 tahun itu bukan sahaja menjadi ‘pelindung’ kepada ah long, malah didakwa berkhidmat kepada sindiket itu dengan cara menakut-nakutkan dan mengganggu ketenteraman mangsa serta keluarga mereka.

Mengulas lanjut, Muhamad Shukri berkata, zaman ‘kefasadah’ atau kerosakan iman kini berlaku apabila konsep bantu membantu semakin terhakis, akibat sikap manusia sendiri yang tidak amanah dalam menjelaskan hutang selepas dibantu rakan taulan tanpa riba.

“Dalam Islam ada sistem pinjaman kita sendiri. Mencari jalan mudah dengan ah long dan sanggup membayar ‘bunga’ dalam jumlah berlipat kali ganda menggambarkan tipisnya keimanan seseorang itu.

“Saya nasihatkan pakailah baju mengikut badan. Jangan terbeban kerana kalah dengan nafsu dan keinginan berlebihan. Kena ingat dan faham, tiada permintaan maka tiada penawaran. Tiada yang setuju menerima pinjaman, pasti ah long pun tidak wujud,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN