RUU lompat parti sia-sia?

RUU lompat parti sia-sia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan menghalang wakil rakyat melompat parti, kini mencetuskan pelbagai implikasi ekoran keputusan Speaker Dewan Rakyat mengumumkan tiada kekosongan kerusi enam wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilucutkan keahli­an mereka.

Ini kerana, Speaker berpandangan arahan-arahan di bawah Perlembagaan Bersatu adalah bertentangan dan menafikan hak bekas ahli-ahli parti itu tetapi masih terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, Bersatu menerusi pindaan peraturan parti sebelum ini menyatakan keahlian wakil rakyat terhenti serta-merta kerana tidak mengikut arahan parti di bawah Fasal 10.4 undang-undang parti dan menyifatkan perkara itu adalah selaras Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana undang-undang tertinggi negara ini menetapkan seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi anggota Parlimen dan kerusinya hendaklah menjadi kekosongan luar jangka sekali gus perlu diadakan pilihan raya kecil (PRK) apabila tidak menjadi anggota parti politik.

Menjelaskan perkara itu, pakar perundangan, Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, keputusan tersebut mencetuskan pelbagai implikasi perundangan terutamanya membabitkan Perkara 49A dan peranan Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam menentukan sama ada kekosongan kerusi berlaku atau sebaliknya.

Menurut beliau, tiada tafsiran terperinci untuk menentukan bagaimana seseorang Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam membuat keputusan ke atas kedudukan wakil rakyat yang terhenti sebagai anggota Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) apabila tidak menjadi anggota parti politik.

“Keadaan ini juga mencetuskan persepsi terhadap Perlembagaan Persekutuan apabila satu undang-undang sama tetapi dua keputusan berbeza. Misalnya Speaker DUN Kelantan mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri manakala Speaker Parlimen pula sebaliknya.

“Ini juga mengundang bahawa undang-undang itu mengikut pengaruh politik apabila satu pihak cakap lain, satu pihak pula sebaliknya walaupun undang-undang sama tetapi mempunyai dua keputusan berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan pihaknya telah menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang membuat keputusan bahawa enam bekas ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat.

Enam ahli Parlimen tersebut ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Susulan itu, Bersatu akan mengambil langkah susulan selepas mene­rima surat daripada Johari yang menyatakan, tidak berlaku kekosongan melibatkan enam ke­rusi bekas ahli Parlimen Bersatu di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Nik Ahmad Kamal, selain itu timbul persoalan lain iaitu sama ada keputusan Speaker dalam menentukan kedudukan kekosongan wakil rakyat di bawah Perkara 49A boleh dicabar di mahkamah atau tidak.

“Meskipun keputusan Speaker Parlimen dan DUN dilindungi Perkara 63 yang menyatakan sebarang kesahan apa-apa prosiding dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah, bagaimana pula dengan Perkara 49A.

“Undang-undang antilompat parti ini hanya menjelaskan Speaker hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka itu apabila mendapati seorang individu terhenti menjadi wakil rakyat dalam beberapa keadaan antaranya iaitu melepaskan keanggotaan parti politik itu atau tidak lagi menjadi anggota parti politik,” katanya.

Justeru, beliau berpandangan, ini menuntut mana-mana pihak melakukan semakan kehakiman terhadap keputusan Speaker Dewan Rakyat dan DUN di mahkamah tinggi atau Persekutuan bagi memastikan keputusan dibuat mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

“Malah saya lebih berpanda­ngan Perkara 49A perlu dipinda untuk menjelaskan tafsiran dan bidang kuasa Speaker dalam menentukan kedudukan wakil rak­yat yang terhenti keahlian. Jika tidak, ia menjadi secara umum dan sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan undang-undang pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN